Tidak Patuhi SOP Punca Kes Positif COVID-19 Sarawak Catat Kes Kumulatif Tertinggi

KHAMIS, 12 OGOS 2021

KUCHING: Aktiviti berkumpul secara sosial dan keluarga, majlis sambutan hari jadi atau perpisahan, majlis pengebumian dan tahlil, aktiviti sukan berkumpulan, bermesyuarat secara fizikal dan jangkitan di tempat kerja menjadi punca kepada peningkatan kes positif COVID-19 di Sarawak pada Khamis. 

Pengarah Jabatan Kesihatan Sarawak Dato’ Dr Mohamed Sapian Mohamed dalam kenyataan medianya berkata, ketidakpatuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) itu telah menyebabkan kes positif COVID-19 meningkat kepada 1,216 kes baharu menjadikan kumulatif kes COVID-19 meningkat kepada 84,603 kes. 

“Bilangan kes harian ini merupakan rekod tertinggi pernah dilaporkan Sarawak sejak wabak ini bermula pada Mac 2020.

“Sebanyak 752 kes baharu (61.8 peratus) dilaporkan di Bahagian Kuching, diikuti Bahagian Serian 236 kes (19.4 peratus) dan Bahagian Samarahan 101 kes (8.3 peratus).

“Sementara itu, dua kematian dilaporkan masing-masing di Daerah Kuching dan Daerah Serian dengan kedua-dua kes belum menerima imunisasi COVID-19 yang lengkap dan berkomorbid,” katanya. 

Tambah Dato’ Dr Mohamed Sapian lagi masih ramai lagi individu yang didapati melepak di tempat awam dan berbual-bual di tempat makan tanpa memakai pelitup muka. 

Selain itu, terdapat juga majikan yang masih enggan membenarkan pekerja mereka menjalani saringan atau bekerja dari rumah apabila mereka mempunyai gejala sehingga tercetusnya kluster di tempat kerja.

Dalam pada itu, ujar Dato’ Dr Mohamed Sapian lagi keputusan pembukaan sektor perniagaan dan peningkatan kadar tenaga kerja yang dibenarkan di tempat kerja merupakan langkah dan prihatin kerajaan untuk memulihkan ekonomi dan sosial masyarakat sejajar dengan peningkatan kadar imunisasi COVID-19. 

“Kelonggaran yang diberikan bukanlah bermakna kita telah menang dalam memerangi COVID-19. 

“Semua orang masih perlu mematuhi SOP dan sentiasa memakai pelitup muka apabila berada di tempat awam, mengamalkan penjarakan fizikal serta amalan kebersihan diri yang tinggi,” katanya. 

Justeru, orang ramai diminta kekal duduk di rumah sekiranya tiada mempunyai urusan penting dan tidak membawa anak atau golongan yang belum diberi imunisasi COVID-19 ke tempat awam serta pastikan pelitup muka dipakai dan penjarakan fizikal dengan semua orang diamalkan serta SOP yang ditetapkan dipatuhi. 

Bagi yang bekerja, sekiranya tidak sihat, jangan turun bekerja manakala, majikan perlu bertanggungjawab dengan memastikan hanya pekerja yang sihat sahaja dibenarkan bekerja manakala yang tidak sihat harus disaring untuk COVID-19. 

Dalam kenyataan itu lagi, Dato’ Dr Mohamed Sapian mahu individu yang mengalami gejala seperti demam, batuk, sakit tekak, sukar bernafas atau mengalami kelesuan, sakit badan, cirit-birit dan muntah tanpa punca yang dapat dikenal pasti, perlu segera mendapatkan saringan dan rawatan di fasiliti kesihatan terdekat walaupun gejala adalah ringan dan tidak teruk. 

Sekiranya seseorang telah terdedah kepada kenalan yang dikesan positif COVID-19 dalam tempoh 14 hari yang lepas, sila dapatkan saringan di fasiliti kesihatan terdekat walaupun belum dihubungi oleh petugas kesihatan.

Untuk itu, orang ramai di Sarawak diseru agar tidak leka dan terus kekal berwaspada kerana kita masih belum menang dan jangan mengalah dalam memerangi wabak ini. -EDISI UKAS