UNIFOR Peruntuk RM500,000 Baikpulih Gereja Lama St Teresa Di Sibu

KHAMIS, 12 OGOS 2021

SIBU: Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) telah memperuntukkan sebanyak RM500,000 untuk melaksanakan kerja-kerja pemulihan semula Gereja Lama St Teresa yang terletak di Sungai Merah, Sibu.

Penyerahan cek berkenaan telah disempurnakan Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi merangkap ADUN Nangka, Dr Annuar Rapaee kepada wakil gereja berkenaan, James Lau pada Khamis.

Menurut Dr Annuar, beiau turut menyeru orang ramai untuk menyumbang bagi membaikpulih gereja yang unik berkenaan.

“Jawatankuasa gereja memohon sebanyak RM1 juta pada tahun lepas. Namun kerajaan hanya memperuntukkan sebanyak RM500,000 sahaja. Jumlah itu boleh ditambah kemudian jika mereka memerlukan dana tambahan.

“Bagaimanapun, saya menyeru orang awam untuk tampil membantu memberikan sumbangan untuk membaikpulih gereja ini,” katanya kepada media selepas menyerahkan cek itu pada Khamis.

Beliau yang juga Menteri Muda Perumahan dan Kesihatan Awam Sarawak turut mencadangkan agar gereja berkenaan diwartakan sebagai bangunan warisan.

Menurutnya, proses untuk memohon pewartaan itu perlu mengikut prosedurnya yang telah ditetapkan.

“Apabila bangunan ini diwartakan sebagai warisan, segala yang ada di sini perlu kekal seperti sedia ada dan paling penting, tiada perobohan dilakukan,” katanya.

Sementara itu, James merakamkan penghargaan kepada Dr Annuar atas bantuan membolehkan gereja berkenaan menerima peruntukan dari UNIFOR untuk dibaik pulih. – EDISI UKAS