Seramai 78 Orang Lagi Lengkap Vaksinasi Di Kampung Kiding

AHAD, 15 OGOS 2021

PADAWAN: Seramai 78 orang penduduk Kampung Kiding di sini menerima suntikan dos kedua vaksin jenis Pfizer menerusi program ‘outreach’ vaksinasi Daerah Kecil Padawan di balai raya kampung berkenaan pada Sabtu.

Program imunisasi bergerak itu merupakan siri terakhir bagi menjelajah kawasan pedalaman untuk melengkapkan pemberian vaksin dos kedua kepada penduduk di kampung tersebut.

Menarik perhatian, Menteri Muda Pengangkutan Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong, Datuk Dr Jerip Susil turun padang membantu dalam memberikan vaksinasi kepada penduduk terlibat.

Selain itu beliau juga memberi suntikan vaksin kepada dua orang kelainan upaya dan sakit terlantar di rumah mereka.

Turut sama ialah Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Padawan, Dr Hanizah dan Pegawai Tadbir Daerah Kecil Padawan, Julius Scott Sapong. -EDISI UKAS