Pejabat Daerah Miri Laksana Program Outreach Vaksinasi (Mopping), Kesan Penduduk Tercicir Terima Vaksin

JUMAAT, 20 OGOS 2021

MIRI: Pejabat Daerah Miri dengan kerjasama Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK), Polis Daerah Miri, Majlis Bandaranraya Miri (MBM) dan Jabatan Penerangan Miri telah mengadakan Program Outreach Vaksinasi (Mopping) di kawasan sekitar Miri termasuk Kampung Pasir Lutong, Kampung Pengkalan Lutong,Taman Tunku, Desa Senadin, Tukau, Sungai Rait, Kampung Tudan dan Tudan Flat pada Khamis.

Tujuan utama program ini adalah untuk memperkasa dan meningkatkan kesedaran masyarakat yang layak segera mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 bagi mencapai 100 peratus  imuniti kelompok.

Setakat 15 Ogos 2021, seramai 278,804 orang atau 89.63 peratus daripada penduduk dewasa yang berumur 18 tahun dan ke atas di Bahagian Miri telah mendapat dos pertama vaksin COVID-19. 

Sementara itu, 249,712 atau 80.28 peratus penduduk telah mendapatkan dos kedua sekaligus menjadikan Bahagian Miri  mencapai 80 peratus imuniti kelompok bagi membendung penularan COVID-19. 

Berdasarkan data Jabatan Statistik Malaysia, terdapat 311,035 populasi penduduk yang berumur 18 tahun dan ke atas di Bahagian Miri layak mendapatkan vaksin COVID-19. 

Turut serta dalam program termasuk Pemangku Penolong Pegawai Daerah Miri Edward Tawang, Penghulu Randi Elon, Ketua Kaum Suhaimi Openg dan pegawai-pegawai dari Jabatan Penerangan Miri, Polis dan MBM.-EDISI UKAS