Varian Delta Dominan Di Sarawak

ISNIN, 13 SEPTEMBER 2021

KUCHING : Varian Delta kini dikesan varian COVID-19 dominan di Sarawak.

Penjujukan genom pada varian SARS-COV 2 telah disahkan oleh Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti UNIMAS (IHCM).

Menurut Pengarah IHCM, Prof Dr David Perera, pada 31 Ogos lalu, sejumlah 303 varian yang membimbangkan (VOC) tambahan dikesan daripada 307 kes positif.

“Kesemua VOC yang di kesan adalah varian Delta (B.1.617.2).

“Keseluruhan yang dikesan pada kadar 99 peratus dan ia mewakili peningkatan dari 82 peratus yang dilaporkan oleh IHCM pada 2 Ogos lalu.

“Data itu menunjukkan bahawa varian Delta saat ini adalah varian dominan yang sudah tersebar luas di Sarawak” katanya dalam laporan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah pada Isnin.

Beliau menambah lagi, varian Delta dikesan 100 peratus di bahagian Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Mukah, Miri dan Limbang serta kes Import A.

Manakala, bahagian Sibu dan Kapit pula mencatatkan 97 peratus dan bahagian Bintulu 98 peratus. – EDISI UKAS