Ketua Menteri Sarawak Lancar Program GETS 4.0 Khas Untuk Graduan Sarawak

UKAS  > Edisi-Utama >  Ketua Menteri Sarawak Lancar Program GETS 4.0 Khas Untuk Graduan Sarawak
0 Comments

RABU, 15 SEPTEMBER 2021

KUCHING: Pelancaran Program Graduates Enhancement Training Sarawak (GETS) 4.0 adalah sejajar dengan strategi kerajaan Sarawak menerusi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak (PCDS) 2030 bagi mempromosikan program latihan industri atau ‘internship’ kepada semua graduan di negeri ini.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, GETS 4.0 memainkan peranan penting dalam memupuk kepimpinan digital dan budaya penerapan teknologi pada masa kini bagi setiap graduan.

“Oleh itu, saya menyeru anak muda terutamanya graduan kita untuk mengambil peluang menerusi agenda digitalisasi di Sarawak.

“Saya percaya program GETS 4.0 berperanan penting dalam menanamkan budaya penerapan teknologi dan penyelesaian digital sekaligus mengadaptasi kemahiran tersebut dalam proses kerja kita,” katanya semasa Majlis Pelancaran GETS 4.0 secara maya menerusi aplikasi Zoom pada Rabu.

Tambah Datuk Patinggi Abang Zohari, beliau berbangga dengan program itu memberikan tumpuan khusus dari segi kecekapan digital melalui latihan pekerjaan dalam usaha mencapai status Revolusi Industri 4.0.

“Saya menjangkakan bahawa budaya bekerja dari rumah dan jadual kerja yang fleksibel akan menjadi pilihan dalam peringkat endemik COVID-19.

“Justeru, organisasi perlu memberikan lebih banyak latihan berkenaan teknologi untuk membantu pekerja meningkatkan kemahiran mereka menyesuaikan diri dengan persekitaran budaya kerja baharu dalam mengekalkan produktiviti,” ujarnya. -EDISI UKAS