Pusat Falak Miri Sebagai Pusat Mengkaji Ilmu Astronomi

UKAS  > Edisi-Utara >  Pusat Falak Miri Sebagai Pusat Mengkaji Ilmu Astronomi
0 Comments

JUMAAT, 24 SEPTEMBER 2021

MIRI: Bidang astronomi merupakan satu bidang yang sangat penting  di dalam kehidupan manusia di dunia hari ini. 

Menurut Ketua Menteri Datuk Patinggi (Dr.) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, ini sangat penting kepada manusia dalam usaha menghayati dan mengkaji apa yang diwujudkan Allah S.W.T serta kekuasaannya yang ada di angkasa. 

“Sebab itu, saya melihat pusat ini (Pusat Falak Miri) sebagai pusat ilmu untuk kita mengkaji, lebih-lebih lagi waktu ini semuanya bergantung kepada angkasa lepas. 

“Ini ada hubung kait dengan teknologi maklumat, ilmu teknologi yang dikatakan digital.

“ilmu digital ini adalah signal yang dihantar di dalam ruang yang berteraskan kepada ilmu algorithm yang merupakan ilmu orang Islam,” katanya semasa berucap merasmikan Pusat Falak Miri di Luak Esplanade Miri pada Jumaat. 

Pusat Falak Miri ini merupakan bangunan pertama seumpamanya di Sarawak yang digunakan sebagai suatu tempat untuk mencerap atau melihat anak bulan. 

Ujarnya Datuk Patinggi Abang Zohari lagi, beliau mahu pelajar-yang berada di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan sekolah-sekolah mengambil peluang ini untuk mempelajari ilmu astronomi di Pusat Falak Miri. 

Mengulas lebih lanjut, Ketua Menteri turut berkata, melihat anak bulan seperti yang kebiasaan dilakukan orang Islam menjelang bulan Ramadan dan Syawal serta Hari Raya Aidiladha ialah salah satu bidang sains. 

“Melihat anak bulan juga merupakan satu bidang sains yang menggambarkan bagaimana peredaran bulan, bintang, matahari dan planet-planet yang lain yang menjadi ‘creations of my tears‘. 

“Kita lihat apa yang menyebabkannya boleh berpusing dan siapa suruhnya berpusing. 

“Keduanya, apakah kaitan bulan dan planet lain dalam kehidupan manusia yang ada hubung kait seperti dalam al-Quran yang menyebut apa yang ada di langit dan di bumi juga di langit,” ujarnya. 

Hadir sama Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin, Menteri Muda Hal Ehwal Islam dan DBKU yang juga Menteri Muda Utiliti Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak Datuk Sebastian Ting Chew Yew, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir Ripin Lamat, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak (Transformasi Sosioekonomi) Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki, Yang DiPertua Majlis Islam Sarawak (MIS) Datuk Misnu Haji Taha, Mufti Negeri Sarawak Sahibus Samahah Datu Kipli Yassin, Residen Bahagian Miri Abdul Aziz Mohd Yusuf,  Datuk Bandaraya Miri Adam Yii Siew Sang, Ketua-ketua Jabatan dan tetamu-tetamu jemputan yang lain.-EDISI UKAS