SELASA, 5 OKTOBER 2021
MIRI: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah melakukan penerbangan logistik COVID-19 dan Program Outreach Vaksinasi Remaja ke kawasan pedalaman di Miri pada Isnin.
Pesawat Mi-171 (M994-04) yang dipandu juruterbang Mohd Ruzaidi Ramlee bersama Kapten Sofian Ahmed@Ibrahim dan dibantu Muhammad Fitri Abdul Ghani telah membawa 9 orang petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ke Long Seridan, Long Kevok dan Long Panai.
Penerbangan yang mengambil masa 2.5 jam itu berlepas dari Lapangan Terbang Miri pada jam 10:04 pagi dan sampai di Long Seridan jam 10:50 pagi bagi menurunkan 44 dos vaksin.
Pada jam 10:55 pagi, pesawat Mi-171 meneruskan penerbangan ke Long Kevok dan sampai jam 11:10 pagi bagi menurunkan 88 dos vaksin.
Selepas menurunkan vaksin, penerbangan diteruskan ke Long Panai pada jam 11:15 pagi dan sampai jam 11:38 pagi.
Di Long Panai, 9 orang petugas KKM telah menjalankan Program Outreach Vaksinasi Remaja kepada 86 pelajar di Long Panai.
Sebaik selesai proses vaksinasi, pesawat JBPM yang membawa 9 orang petugas KKM dan 7 anggota Bomba serta juruterbang bertolak ke Miri pada jam 3:30 petang dan selamat mendarat di Lapangan Terbang Miri pada 4:05 petang.-EDISI UKAS