14 PATI Cuba Cari Kerja Di Sarawak Diusir Keluar

RABU, 13 OKTOBER 2021

KUCHING: Seramai 14 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) Indonesia telah diusir keluar setelah cuba memasuki Sarawak melalui lorong tikus di kawasan Tebedu dan Biawak, Lundu. 

Menurut kenyataan media Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Div) pada Rabu, pengusiran tersebut telah dilakukan selama dua hari berturut-turut.

“Pengusiran pertama pada Selasa, 12 Oktober 2021 jam 10:05 pagi melibatkan dua individu lelaki berumur 39 dan 42 tahun yang cuba memasuki kawasan Malaysia dari arah Indonesia di Sektor Tebedu. 

“Kejadian kedua pula berlaku pada hari yang sama pada jam 5:00 petang di lorong tikus sekitar Biawak, Lundu melibatkan 7 individu lelaki yang dikesan cuba memasuki kawasan Malaysia dari arah Indonesia yang berusia dalam lingkungan 19 hingga 52 tahun. 

“Manakala, satu lagi kejadian penahanan 5 individu berusia 24 hingga 47 tahun termasuk seorang wanita berlaku pada Rabu 13 Oktober 2021 pada jam 11.00 pagi juga di sekitar kawasan Biawak, Lundu,” katanya.

Tambah kenyataan itu lagi, ketiga-tiga kejadian itu melibatkan penahanan individu yang tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah dan cuba masuk secara haram ke negara ini melalui lorong-lorong tikus di sepanjang sempadan darat Malaysia-Indonesia. 

“Hasil siasatan mendapati tujuan mereka adalah untuk mencari pekerjaan di pelbagai sektor di Sarawak. 

“Laporan Polis telah dibuat di balai polis berhampiran dan kesemua PATI yang ditahan telah diusir keluar pada hari yang sama,” tambah kenyataan itu lagi. 

Situasi semasa dalam peralihan pandemik ke endamik COVID-19 telah mendorong PATI cuba masuk untuk mencari pekerjaan di Sarawak dan jumlah ini semakin meningkat.

Sehubungan itu, Tentera Darat khususnya anggota-anggota yang bertugas di persempadanan Sarawak-Kalimantan Barat senantiasa berwaspada dan beriltizam mengawal keselamatan dan memastikan kedaulatan negara terus terpelihara.-EDISI UKAS