Pandemik COVID-19 Tidak Sekat Sarawak Terus Anjur Acara Persidangan, Perniagaan Bertaraf Antarabangsa

UKAS  > Edisi-Utama >  Pandemik COVID-19 Tidak Sekat Sarawak Terus Anjur Acara Persidangan, Perniagaan Bertaraf Antarabangsa
0 Comments

JUMAAT, 22 OKTOBER 2021

KUCHING: Pandemik COVID-19 tidak menyekat Sarawak untuk terus menganjurkan acara persidangan dan perniagaan bertaraf antarabangsa di negeri ini.

Sehubungan itu, Menteri Pelancongan, Kesenian Dan Kebudayaan Sarawak, Dato’ Sri Abdul karim Rahman Hamzah berkata beliau menggalakan lebih banyak kerjasama antara persatuan negeri dan persekutuan, sektor swasta serta sektor kerajaan.

Ujar beliau, kerjasama ini dapat diperkukuhkan lagi dengan bekerjasama dengan industri menganjurkan acara perniagaan.

“Kementerian saya akan terus menyokong melalui agensi kami, Business Events (BE) Sarawak, dengan pakej insentif sendiri yang mana pakej ini adalah untuk perancang baru dan perancang sedia ada, dan menyokong pembiayaan acara hibrid hingga 50 peratus dari jumlah tempat yang diluluskan subsidi, penggalak nilai dan banyak lagi.

“Pakej insentif BE Sarawak dapat digabungkan dengan pakej sokongan Meet in Malaysia untuk menggandakan sumber untuk memastikan kejayaan acara yang dijalankan,”katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis pelancaran Meet in Malaysia @ Sarawak 2021 dan Kuching Hybrid City Alliance di Hotel Imperial, Kuching pada Jumaat.

Dato’ Sri Abdul karim juga memberitahu, Sarawak merupakan negeri di Asia Pasifik yang kerap menjadi tuan rumah menganjurkan acara perniagaan sejak ia penubuhan Biro Konvensyen Sarawak (Acara Perniagaan Sarawak) pada tahun 2006 yang kini dikenali sebagai Business Events (BE) Sarawak.-EDISI UKAS