Syarikat Minyak Dan Gas Setuju Ambil Langkah Dalaman Tangani Penularan COVID-19

UKAS  > Edisi-Utara >  Syarikat Minyak Dan Gas Setuju Ambil Langkah Dalaman Tangani Penularan COVID-19
0 Comments

SABTU, 23 OKTOBER 2021

MIRI: Pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 3 dengan sekatan kemasukan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang lebih longgar kepada Industri Minyak dan Gas telah menyebabkan kes positif COVID-19 masih berlaku di kalangan pekerja sektor tersebut.

Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri Dato’ Sri Lee Kim Shin berkata, satu tindakan segera perlu dilakukan bagi memastikan kes positif COVID-19 di kalangan pekerja minyak dan gas dapat diminimakan. 

Katanya lagi, terdapat 50 kes positif sehari di Miri datangnya daripada pekerja ‘offshore’ dengan kebanyakan dalam kategori 1 dan 2, iaitu tidak bergejala dan bergejala ringan.

“Malaysia Petroleum Management (MPM) telah mencadangkan SOP Langkah Pencegahan Dalaman khasnya kepada syarikat minyak dan gas dengan memberi taklimat mengenai garis panduan pengurusan kes positif kru Sign On dan Sign Off dan penubuhan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) dan Pusat Penilaian COVID-19 (CAC).

“Syarikat-syarikat minyak dan gas juga bersetuju masing-masing akan menubuhkan PKRC untuk kes-kes positif kategori 1 dan 2,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Bersama Syarikat-Syarikat Industri Minyak dan Gas Bahagian Miri pada Jumaat. 

Antara Syarikat Industri Minyak dan Gas yang menyertai mesyuarat secara zoom ialah Malaysia Petroleum Management (MPM), Petronas Sarawak, Petronas Carigali Sdn. Bhd., JX Nippon Oil & Gas Exploration (Malaysia) Limited, Sapura Energy Berhad, Petroleum Sararawak Berhad (PETROS), Dayang Enterprise Sdn. Bhd dan PTTEP Sarawak Oil Limited dan jabatan dan agensi di bawah JPBB Miri. 

Tambah Dato’ Sri Lee lagi, syarikat-syarikat minyak dan gas juga akan mengurus dan mengawal pekerja- pekerja ‘offshore ‘masing-masing.

“Ini terutamanya mereka yang bergejala dan berisiko tinggi (high risk) dengan menggunakan peralatan ujian RTK-Antigen, kaedah pengasingan dan kuarantin. 

“Penilaian dan pengesanan pendedahan atau kontak rapat juga akan dijalankan kepada semua pejkerja-pekerja ‘off-shore’ dan ‘on-shore’.

“Turut diambil tindakan ialah penyediaan untuk menubuhkan PKRC dengan hotel tempatan,” tambahnya. 

Kesemua keputusan mesyuarat ini akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak untuk mengemaskini SOP dalaman industri minyak dan gas.-EDISI UKAS