Pantai Belawai Bakal Menjadi Destinasi Pelancongan Terbaru Di Sarawak

UKAS  > Edisi-Tengah >  Pantai Belawai Bakal Menjadi Destinasi Pelancongan Terbaru Di Sarawak
0 Comments

SABTU, 30 OKTOBER 2021

BELAWAI: Pelan induk pembangunan Pantai Belawai akan diteruskan untuk membangunkan kawasan Pantai Belawai khususnya dan Kampung Rajang dan Jerijih pada amnya sebagai pusat pelancongan pada masa akan datang.

Menurut Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datu Len Talif Salleh pembangunan tersebut akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut peruntukan yang sedia ada.

“Setelah lengkuk jangkitan COVID-19 di kawasan ini, saya melihat sektor pelancongan dikawasan ini semakin meningkat.

“Oleh itu, saya ingin berbincang dengan pihak kementerian pelancongan untuk meningkatkan sektor pelancongan di kawasan ini serta melatih penduduk setempat untuk mendirikan ‘homestay’ bagi meningkatkan sosioekonomi penduduk sekaligus menyediakan kemudahan awam untuk para pelancong yang berkunjung,” beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis penyerahan Projek Pantai Belawai Fasa II pada Jumaat.

Selain itu katanya, aspek kebersihan dan keselamatan pantai juga akan dititikberatkan bagi memastikan keselesaan para pengunjung yang mengunjungi Pantai Belawai.

Tambahnya, permohonan untuk Projek ‘Waterfront’ bagi Pantai Belawai juga akan dibuat bagi mengatasi isu hakisan pantai yang berlaku pada masa akan datang.

Namun ianya memerlukan masa untuk dilaksanakan serta komitmen yang cukup tinggi dari semua pihak terlibat iaitu Kerajaan, Wakil Rakyat dan pihak berkuasa tempatan, jelas Datu Len lagi.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pemangku Pegawai Daerah Tanjung Manis Ismail Kassah, Setiausaha Majlis Daerah Matu Daro Ahmad Jerry Hashim, Ketua-Ketua dan Kaum Masyarakat (KMKK). – EDISI UKAS