Beri Mandat Besar Kepada Calon GPS Di Bukit Saban

ISNIN, 1 NOVEMBER 2021

SPAOH: Pengundi di kawasan DUN Bukit Saban diseru agar terus kuat dan memastikan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) di situ menang dengan majoriti besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang.

Timbalan Ketua Menteri merangkap ADUN Bukit Saban, Datuk Amar Douglas Uggah Embas menjelaskan kemenangan GPS pada PRN Ke-12 nanti juga sebagai tanda terima kasih kepada Ketua Menteri, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg yang telah menunjukkan kebolehan dalam memimpin negeri ini.

Katanya, dalam Belanjawan Negeri untuk tahun 2022, Sarawak menerima bajet pembangunan lebih RM7 bilion manakala dari kerajaan persekutuan sebanyak RM4.6 bilion.

Tegas beliau, ini jelas memperlihatkan keupayaan kerajaan negeri menjana pendapatan dan seterusnya dapat merangka pembangunan secara menyeluruh.

Berucap semasa Majlis Pemimpin Bersama Rakyat Bukit Saban di Dewan Masyarakat Spaoh pada Ahad, Datuk Amar Douglas berkata kawasan Bukit Saban telah menerima peruntukan sebanyak RM464 juta untuk projek pembangunan yang telah, sedang dan akan dilaksanakan sepanjang tempoh lima tahun ini.

Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak itu menambah banyak lagi perancangan di Bukit Saban untuk menambah pendapatan dan meningkatkan ekonomi antaranya mewujudkan ‘Agropark’ dan lapangan terbang di kawasan itu.

Sementara itu, Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri Sarawak (Undang-undang, Hubungan Negeri dan Persekutuan dan Pemantauan Projek), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali yang turut hadir dalam program itu berkata sebanyak RM30 juta telah dibelanjakan untuk pelaksanaan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) di Bukit Saban.

Selain itu, beberapa projek lain juga akan dilaksanakan seperti Tebingan Spaoh, Bangunan Pejabat Daerah Kecil Spaoh baru, pembinaan Kompleks Sukan Spaoh, pembinaan Market Baru Spaoh, Skim Perumahan PERMATA dan pembinaan Lapangan Terbang Spaoh. – EDISI UKAS