Kerajaan GPS Jadi Kerajaan Interim Sehingga Kerajaan Baharu Dibentuk Selepas PRN-12

UKAS  > Edisi-Selatan, Edisi-Utama >  Kerajaan GPS Jadi Kerajaan Interim Sehingga Kerajaan Baharu Dibentuk Selepas PRN-12
0 Comments

JUMAAT, 5 NOVEMBER 2021

KUCHING: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan menjadi kerajaan interim atau kerajaan sementara sehingga kerajaan baharu dibentuk selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, ianya adalah proses peralihan yang normal sehingga PRN ke-12 dilangsungkan.

Menurutnya, kerajaan negeri sekarang akan berfungsi sebagai kerajaan sementara, namun sebarang keputusan besar tidak dapat dilakukan dan sebab itu mandat perlu dikembalikan semula kepada rakyat.

“Ianya juga bagi mematuhi perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk membatalkan pengisytiharan darurat selepas perundingan dengan Yang di-Pertua Negeri Sarawak dan selaras dengan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 Sarawak.

“Kita merasakan bahawa ia akan menjadi pengkhianatan jika kerajaan bergantung pada kuasa darurat sedangkan mandat rakyat untuk mentadbir telah tamat.

“Walaupun begitu, kita juga menyedari bahawa kesihatan dan keselamatan rakyat Sarawak diutamakan. Oleh itu, dalam membuat keputusan ini kita telah melakukan perbincangan yang teliti dan berterusan dengan pihak berkuasa kesihatan termasuk pihak berkaitan yang lain,” katanya dalam sidang media khas di Wisma Bapa Malaysia di sini pada Jumaat.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Ketua Menteri menambah, kerajaan negeri sebelum ini juga telah memastikan kadar vaksinasi mencapai tahap yang boleh diterima oleh pihak berkuasa agar pilihan raya diadakan berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Sementara itu, beliau memberitahu Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar akan memaklumkan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai pembubaran DUN Sarawak Sarawak berkuatkuasa 3 November 2021 sebagai prosedur rasmi.

Beliau memberitahu, pembubaran tersebut diisytiharkan setelah dinasihatkan bahawa undang-undang dan pertimbangan keselamatan dan kesihatan awam telah ditetapkan.

Untuk rekod, penggal DUN Sarawak telah tamat pada 6 Jun lalu namun pembubaran DUN ditangguhkan susulan pengisytiharan Proklamasi Darurat sehingga 2 Februari 2022 di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 Sarawak oleh Yang di-Pertuan Agong. –EDISI UKAS