Pengwujudan Pusat Intervansi Awal Kanak-Kanak, Bela Kebajikan Kanak-Kanak Istimewa

UKAS  > Edisi-Utara >  Pengwujudan Pusat Intervansi Awal Kanak-Kanak, Bela Kebajikan Kanak-Kanak Istimewa
0 Comments

JUMAAT, 5 NOVEMBER 2021

BINTULU: Pengwujudan Pusat Intervansi Awal Kanak-Kanak seperti Legacy of Hope Early Intervention Centre di Bintulu akan memberi peluang kepada kanak-kanak istimewa untuk mengakses kemudahan diagnosis, terapi, pendidikan, latihan vokasional dan penjagaan yang rapi.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, pusat ini menyediakan diagnosis dan intervensi awal serta pemulihan untuk kanak-kanak istimewa berumur 7 tahun ke bawah.

“Kita bersyukur kerana ini menunjukkan bahawa dalam masyarakat kita sudah ada kesedaran tentang menghantar anak -anak kita ini sekiranya mereka didapati mengalami kelewatan tumbesaran, jadi perlu dihantar supaya diagnosis yang betul dapat dilakukan dan diikuti dengan intervansi awal.

“Ini sangat penting sebab kita tahu kalau intervansi dibuat awal, peluang untuk berjaya akan lebih baik,”katanya semasa berucap dalam majlis perasmian pusat tersebut baru-baru ini.

Menurut Dato Sri Fatimah lagi, dengan adanya pusat berkenaan ia akan membolehkan setiap kanak-kanak bekeperluan khas terbabit mendapat didikan awal yang sesuai dengan kemampuan mereka.

Tambahnya lagi, stigma memandang rendah atau mengabaikan golongan terbabit perlu disingkirkan kerana mereka juga memerlukan perhatian serta sokongan dari anggota keluarga dan masyarakat seperti insan yang lain.-EDISI UKAS