Penubuhan Kursi Sheikh Othman Sarawak Perkukuhkan Hubungan Kerajaan Sarawak, MIS Dengan UKM

UKAS  > Edisi-Selatan >  Penubuhan Kursi Sheikh Othman Sarawak Perkukuhkan Hubungan Kerajaan Sarawak, MIS Dengan UKM
0 Comments

ISNIN, 8 NOVEMBER 2021

KUCHING: Majlis Islam Sarawak (MIS) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) bagi penubuhan Kursi Sheikh Othman Sarawak di Pejabat Ketua Menteri, Wisma Bapa Malaysia pada Isnin.

Menurut Ketua Menteri Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg, penubuhan Kursi Sheikh Othman Sarawak itu akan memperkukuhkan hubungan di antara Kerajaan Sarawak, MIS dan UKM.

“Penubuhan Kursi Sheikh Othman Sarawak ini mempunyai signifikan tersendiri khususnya dalam merealisasikan hasrat Kerajaan Sarawak dan MIS mengukuhkan lagi hubungan dengan UKM sebagai sebuah universiti watan negara,” katanya semasa berucap dalam majlis itu.

Pada majlis itu, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Zohari dan Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi telah menyaksikan pertukaran MOU di antara Yang DiPertua MIS Datu Misnu Taha dan Naib Canselor UKM Profesor Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman.

Tambah Ketua Menteri lagi, penubuhan Kursi Sheikh Othman Sarawak di UKM merupakan manifestasi kepada gagasan besar Kerajaan Sarawak dalam sektor pendidikan.

“Usaha ini sejajar dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan Strategi Ekonomi Digital Sarawak 2018-2022 yang bertujuan memperkasakan lagi penglibatan masyarakat Islam di negeri ini dalam bidang ekonomi secara komprehensif selari dengan perkembangan ekonomi digital,” tambahnya.

Sehubungan itu, beliau menzahirkan ucapan terima kasih kepada UKM serta menjunjung kasih kepada Tuanku Canselor UKM Tuanku Mukhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir dan seluruh kepimpinan dan warga UKM di atas kesediaan dan kesudian mengusahakan penubuhan Kursi Sheikh Othman Sarawak di UKM.- EDISI UKAS