RM100,000 diperuntuk Naik taraf Pejabat Lama Daerah Meradong

UKAS  > Edisi-Tengah >  RM100,000 diperuntuk Naik taraf Pejabat Lama Daerah Meradong
0 Comments

SELASA, 9 NOVEMBER 2021

BINTANGOR: Sebanyak RM100,000 geran projek Transformasi Luar Bandar (RTP) diserahkan oleh bekas Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing bagi menaiktaraf prasarana Pejabat Lama Daerah Meradong Fasa 3 pada Isnin.

Datuk Ding dalam ucapannya berkata projek RTP adalah hasil usaha Kerajaan Sarawak bagi menaiktaraf infrastruktur pejabat yang terlalu lama untuk dijadikan dewan perhimpunan serta bilik Ketua Masyarakat Daerah Meradong untuk melaksanakan tugasan harian pada masa yang akan datang.

Beliau menambah, pelaksanaan projek RTP akan dijalankan secara berperingkat mengikut dana yang telah diluluskan melalui Kerajaan Sarawak pada setiap tahun melalui kontraktor yang dilantik melalui agensi pelaksanaan dengan cabutan undi.

Dalam pada itu, beliau berkata dengan sokongan yang berterusan kepada Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) , Pelbagai projek kemajuan dan pembangunan masyarakat di luar bandar akan terjamin khasnya di Daerah Meradong.

Datuk Ding Kuong Hiing juga sempat mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Kerja Raya(JKR) di atas seliaan dan pantauan bagi memastikan projek RTP tersebut berjalan dengan lancar dalam tempoh empat bulan tersebut.

Sementara itu, Pegawai Daerah Meradong, Badjuri Bidin sempat merakamkan ucapan terima kasih di atas kecekapan Bekas ADUN Meradong dalam menjalankan tugas beliau bagi memastikan pembangunan di daerah tersebut berjalan dengan lancar.

Turut hadir Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR), Jessica dan Pemanca, Yii Hee Sieng.-EDISI UKAS