Kerajaan Sarawak Sentiasa Membayar Pampasan Tanah Bagi Tujuan Pembangunan

UKAS  > Edisi-Selatan >  Kerajaan Sarawak Sentiasa Membayar Pampasan Tanah Bagi Tujuan Pembangunan
0 Comments

SABTU, 13 NOVEMBER 2021

KOTA SAMARAHAN : Kerajaan Sarawak sentiasa membayar pampasan kepada pemilik tanah yang terlibat dengan projek pembangunan.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kerajaan tidak pernah merampas tanah daripada rakyat malah prihatin dengan membayar pampasan kepada mereka terlibat.

“Satu perkara yang kita mesti pastikan adalah semua pengambilan-pengambilan tanah ini ada pembayaran pampasannya”

“Kerana kadang-kadang ada pihak tertentu menuduh kerajaan merampas tanah rakyat dan tidak membayar pampasannya,” katanya dalam Sidang Media selepas Majlis Penyampaian Cek Pampasan Bagi Projek Pemutihan dan Pembesaran Perkuburan Islam serta Projek Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Telekomunikasi di Kampung Sambir pada Jumaat.

Dalam majlis tersebut, beliau menyampaikan cek kepada 11 penerima pampasan bagi Projek Pemutihan Dan Pembesaran Perkuburan Islam, berjumlah RM1,291,761.30.

Manakala dua lagi penerima pampasan bagi Projek Pembangunan Infrastruktur Dan Kemudahan Telekomunikasi Kampung Sambir berjumlah RM8,304.00.

Dato Sri Abdul Karim menambah, Projek Pembesaran Tanah Perkuburan Kampung Sambir adalah bagi memudahkan penduduk menggunakannya berikutan tanah perkuburan yang sedia ada sudah terlalu padat.

Selain itu, projek pembangunan infrastruktur dan kemudahan telekomunikasi adalah bagi memastikan keselesaan penduduk dari segi kelajuan jalur lebar dengan pembinaan menara telekomunikasi. -EDISI UKAS