Usaha Jaga Kebersihan Sungai Perlu Tanggungjawab Bersama

UKAS  > Edisi-Utara >  Usaha Jaga Kebersihan Sungai Perlu Tanggungjawab Bersama
0 Comments

SABTU, 13 NOVEMBER 2021

MIRI: Setiap masyarakat perlu terus memberi kerjasama yang erat kepada pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan dalam memelihara dan memastikan kebersihan sungai.

Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata, komuniti setempat disaran untuk melaporkan segera kepada pihak berkuasa sekiranya berlaku pencemaran sungai.

Kata beliau, ia adalah supaya tindakan pembendungan dan langkah-langkah pemuliharaan dapat dilaksanakan dengan segera.

“Antara faktor utama yang menyumbang kepada pencemaran sesebuah sungai adalah pembuangan sisa domestik, perindustrian, aktiviti hiliran dan lain-lain ke dalam sungai.

“Seluruh warga Miri khasnya dan Sarawak amnya harus sentiasa menjaga kebersihan sungai serta membudayakan pemuliharaan dan pemilikannya,” katanya dalam Program Kesedaran Awam Keselamatan dan Kebersihan Sungai Di Kampung Masjid, Kuala Baram, Miri pada Sabtu.

Berkaitan dengan program itu, Dato Sri Lee berkata, Lembaga Sungai-Sungai Sarawak telah mengadakan Program Pendidikan dan Kesedaran Awam secara berterusan berkaitan kepentingan kebersihan sungai dan keselamatan pengangkutan sungai di seluruh negeri.

Dato Sri Lee memberitahu, kesedaran awam ke atas kebersihan sungai dalam kalangan masyarakatadalah amat penting kerana sungai merupakan antara aset yang paling penting.

“Sungai yang bersih dan selamat dapat membekalkan sumber air dan makanan, sungai juga digunakan sebagai medium pengangkutan dan perhubungan, dapat mewujudkan peluang pekerjaan dan menambahkan pendapatan, boleh membekalkan tenaga elektrik melalui pembinaan empangan hidro-elektrik, membantu dalam memperkembangkan industri pelancongan dan banyak lagi,”katanya.

Tambah beliau, program ini merupakan satu inisiatif dan komitmen berterusan Kerajaan Negeri untuk menanam dan meningkatkan kesedaran awam berkenaan pentingnya keselamatan pengangkutan sungai dan pemeliharaan kebersihan sungai serta persekitarannya.

“Program kesedaran awam keselamatan dan kebersihan sungai pada hari ini mensasarkan komuniti setempat khasnya dan masyarakat umum secara amnya.

“Perancangan dan pelaksanaan program dengan membabitkan komuniti setempat secara langsung dapat meningkatkan lagi tahap kesedaran awam dengan berkesan dan seterusnya dapat memastikan pencapaian objektif yang disasarkan,”ujar Dato Sri Lee lagi.

Dalam pada itu beliau turut menyempurnakan simbolik penyerahan jaket Keselamatan kepada Para Nelayan Kampung Masjid Kuala Baram dan penyerahan tong sampah kepada JKK Kampung Masjid.-EDISI UKAS