Bangunan Dewan Bandaraya Miri Bukti Kerajaan Sarawak Tepati Janji

ISNIN, 15 NOVEMBER 2021

MIRI: Kerajaan Sarawak menunaikan janji kepada warga Miri menerusi projek pembinaan bangunan Dewan Bandaraya Miri yang kini siap dibina sepenuhnya.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, bangunan yang dibina dengan kos kira-kira RM70 juta itu membuktikan beliau menepati janjinya yang diumumkan pada 7 Julai 2018.

Menurutnya, kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sentiasa bekerja untuk rakyat dengan membawa pelbagai pembangunan yang merangsang ekonomi negeri menerusi sektor minyak dan gas serta pelancongan khususnya.

“Hari ini saya telah menunaikan janji saya kepada warga Miri selepas saya mengumumkan perkara ini pada Julai 2018.

“Ini membuktikan kerajaan Sarawak menepati janji-janji kepada rakyat dan bangunan Dewan Bandaraya Miri ini adalah bukti jelas bahawa apa yang saya janji akan ditunaikan untuk rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan bangunan Dewan Bandaraya Miri pada Isnin.

Turut hadir ialah Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Dato’ Sri Dr Sim Kui Hian, Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato’ Sri Lee Kim Shin, Menteri Utiliti Sarawak, Dato’ Sri Dr. Stephen Rundi Utom, Datuk Bandaraya Miri, Adam Yii Siew Sang serta tetamu jemputan lain.

Dalam pada itu, Ketua Menteri memberitahu, bangunan baharu tersebut mencerminkan tiga perkara yang menarik perhatian beliau.

Jelas beliau, pertamanya ia melambangkan pembangunan terperinci di bandar raya Miri, keduanya pula mencermikan perpaduan yang kukuh dalam kalangan penduduk Miri yang pelbagai kaum dan seterusnya kemakmuran yang dinikmati warga Miri.

“Saya nampak bangunan ini mencerminkan tiga perkara yang amat menarik iaitu pembangunan yang begitu terperinci di Miri, keduanya perpaduan utuh rakyat yang pelbagai agama dan kaum serta kemakmuran yang dinikmati warga Miri,” jelasnya lagi.

Dalam lawatan sehari itu, Ketua Menteri turut menyempurnakan majlis pecah tanah untuk pembangunan projek bas terminal Miri atau Miri Sentral dan merasmikan pembukaan blok bangunan pentadbiran dan akademik baharu di Sekolah Menengah Jalan Riam, Miri. -EDISI UKAS