Percaya Kepada Manifesto PH, Akibatnya Banyak Projek Pembangunan Di Sarawak Dibatalkan

UKAS  > Edisi-Utara >  Percaya Kepada Manifesto PH, Akibatnya Banyak Projek Pembangunan Di Sarawak Dibatalkan
0 Comments

ISNIN, 29 NOVEMBER 2021

LIMBANG: Sepanjang Kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah Malaysia selama 22 bulan telah banyak mengajar rakyat Sarawak mengenai janji pilihan raya. 

Timbalan Menteri II Pembangunan Luar Bandar Malaysia Datuk Hasbi Habibollah berkata, apa yang dijanjikan dalam pilihan raya tidak seindah apabila hendak melaksanakannya. 

Akibatnya, banyak projek pembangunan yang telah diluluskan kerajaan terdahulu Barisan Nasional (BN) telah dibatalkan termasuk beberapa projek di Bahagian Limbang ini. 

“Selama 22 bulan di bawah Kerajaan Pakatan Harapan telah mengajar rakyat Sarawak apa yang mereka janjikan tidak dapat ditunaikan.

“Malah, banyak projek kita di Sarawak telah dibatalkan termasuk Lebuh Raya Pan Borneo untuk kita di Bahagian Limbang,” katanya semasa berucap dalam Perasmian Program Komuniti Sejahtera Tahun 2021 anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Negeri Sarawak di Kampung Patiambun pada Jumaat. 

Mengulas mengenai pembinaan ke Mentawai yang menghubungkan Limbang ke Miri, beliau yang juga Ahli Parlimen Limbang memberitahu kelewatan itu disebabkan kontraktor yang dilantik gagal menyiapkannya.

“Apa yang menyedihkan prestasi kontraktor sangat perlahan. 

“Perancangan kerajaan jalan tersebut akan ditembuskan ke Miri bagi merealisasikan hasrat penduduk di Daerah Limbang yang mahu jalan terus ke Miri tanpa melalui negara jiran.

“Jangan mudah terpedaya dan terpengaruh dengan cerita fitnah yang disebarkan di media sosial mengenai projek pembangunan yang sebenarnya menidakkan usaha kerajaan memberikan kesejahteraan dan meningkat hidup rakyat,” ujarnya lagi. 

Hadir sama Ketua Pengarah KEMAS Malaysia Dato’ Mohamad Yasid Bidin, Residen Bahagian Limbang Ir. Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Pengarah KEMAS Negeri Sarawak Khairuddin Nasir, Pengarah Pembangunan Komuniti KEMAS Malaysia Annie Liaw dan wakil Ketua Kampung Patiambun Anuar Sidup.-EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *