Razi Rancang Projek Berimpak Tinggi Di DUN Saribas, Tingkatkan Pembangunan Infrastruktur

UKAS  > Edisi-Tengah >  Razi Rancang Projek Berimpak Tinggi Di DUN Saribas, Tingkatkan Pembangunan Infrastruktur
0 Comments

RABU, 22 DISEMBER 2021

KUCHING: Kerajaan Sarawak boleh menjadikan bidang pertanian dilihat suatu kerjaya yang boleh diceburi rakyat dalam usaha membaik pulih kembali ekonomi masa kini.

Menurut Mohammad Razi Sitam, beliau merancang melaksanakan pelbagai projek berimpak tinggi, khusus dalam sektor pertanian sebagai usaha meningkatkan sosioekonomi penduduk.

Katanya lagi, bidang pertanian dilihat antara platform terbaik bagi membuka peluang pekerjaan selain kemudahan teknologi terkini dalam sistem pertanian untuk memudahkan serta meningkatkan hasil tani.

“Usaha ini sudah tentu dapat disokong menerusi pembinaan pusat pengumpulan makanan (food basket) dari Betong hingga ke Jemoreng, di samping pembinaan Lapangan Terbang Spaoh bakal memacu ekonomi penduduk, termasuk di Saribas,” katanya dalam Program “Sembang Politik PRN-12: Apa pula selepas ini?”, anjuran Jiwa Bakti dan Utusan Sarawak di Hotel Samudra pada Selasa. 

Selain itu, ujar Mohammad Razi lagi, beliau akan meneruskan pembangunan infrastruktur dan menyediakan kemudahan berkaitan dalam bidang pertanian di DUN Saribas dalam tempoh lima tahun ini.

“Kalau di Saribas, penduduk memerlukan tapak rumah, contohnya seperti Skim Pembesaran Kampung (SPK). Ia lebih sesuai berdasarkan kemampuan komuniti kerana konsep SPK lebih strategik dengan adanya sistem perparitan teratur dan sebagainya.

“Malah kita juga merancang untuk membangunkan bandar-bandar kecil dengan pelbagai infrastruktur bagi mengalakkan aktiviti berkaitan sektor ekonomi, terutama bidang pertanian, termasuk komoditi dan kelapa sawit,” ujarnya.

Dalam program itu, turut sama Fazzrudin Abdul Rahman dan Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Dr. Arnold Puyok serta moderatornya Penasihat Editorial Kumpulan Jiwa Bakti dan Utusan Sarawak dan Mingguan Sarawak Kadir Dikoh.-EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *