Pemberian Vaksin Kanak-Kanak Berumur 12 Tahun Ke Bawah Di Sarawak Pada Februari 2022

UKAS  > Edisi-Selatan >  Pemberian Vaksin Kanak-Kanak Berumur 12 Tahun Ke Bawah Di Sarawak Pada Februari 2022
0 Comments

ISNIN, 3 JANUARI 2021

KUCHING: Pemberian vaksin COVID-19 kanak-kanak yang berumur 12 tahun ke bawah di Sarawak akan dimulakan pada Februari 2022. 

Menurut Dato Sri Dr Sim Kui Hian, ianya sejajar dengan pembukaan semula sesi persekolahan akan datang. 

“Memandangkan sesi persekolahan secara fizikal, Kerajaan Sarawak telah bersedia untuk memberi suntikan vaksin COVID-19 kepada kanak-kanak di bawah umur 12 tahun,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Ahad. 

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memulakan proses vaksinasi untuk kanak-kanak berumur bawah 12 tahun pada bulan Februari 2022 dengan menggunakan vaksin Pfizer-BioNTech. 

Sesi persekolahan tahun ini sepatutnya diadakan pada 3 Januari 2022, namun Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memutuskan untuk menangguhkan tarikh tersebut kepada 9 Januari selepas mengambil kira situasi banjir semasa negara. 

Dalam pada itu, Dato Sri Dr Sim berkata, Sarawak akan memasuki Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 bermula 3 Januari 2022. 

“Ini selepas jumlah kes COVID-19 telah menurun dan sudah hampir 14 hari sejak Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak berakhir,” katanya.-EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *