Taiyo Yuden Rancang Labur RM4.1 Bilion Di Samajaya

UKAS  > Edisi-Selatan >  Taiyo Yuden Rancang Labur RM4.1 Bilion Di Samajaya
0 Comments

ISNIN, 7 FEBRUARI 2022

KUCHING: Taiyo Yuden merancang untuk melabur sejumlah RM4.1 bilion ke atas tanah seluas 70 ekar di Sama Jaya.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kerja-kerja pembinaan untuk fasa 1 telah dimulakan tahun lepas dan dijangka siap menjelang 2023.

“Syarikat itu dijangka mengambil 2,000 pekerja tambahan pada 2023 untuk operasi fasa 1. 

“Pada masa ini, syarikat itu menggaji 5,300 pekerja di mana 98 peratus adalah warga tempatan,” katanya menerusi kenyataan media pada Sabtu. 

Terdahulu, beliau telah menerima kunjungan hormat daripada Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Taiyo Yuden (Sarawak) Sdn. Bhd Yoshio Akimoto di pejabatnya di Wisma Sumber Alam pada Jumaat. 

Yoshio Akimotoakan meninggalkan Sarawak untuk menyandang jawatan Pengarah Urusan, Taiyo Yuden (Changzhou) di China.

Mengulas lanjut, Datuk Amar Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan mengucapkan terima kasih kepada Taiyo Yuden di atas keyakinan mereka terhadap kepimpinan Kerajaan Sarawak. 

Sepanjang berkhidmat di Sarawak, beliau telah berjaya meningkatkan pelaburan dan pembesaran Taiyo Yuden di Samajaya. 

Datuk Amar Awang Tengah juga memberi jaminan kepada Taiyo Yuden bahawa Kerajaan Sarawak akan menyediakan semua bantuan yang diperlukan untuk memastikan pelan pembesaran baharu itu akan disiapkan seperti yang dijadualkan.

Taiyo Yuden telah beroperasi di Sama Jaya sejak tahun 1996.

Hadir sama Menteri Muda Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Datuk Malcolm Mussen Lamoh, Pemangku Setiausaha Tetap, Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Dzulkornain Masron dan Pegawai Khas, Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Datu Liaw Soon Eng.-EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *