Punca Projek Jalan Meritam-Telahak-Buangabai-Pengkalan Rejab Alami Kelewatan Dikenal Pasti

UKAS  > Edisi-Utama, Edisi-Utara >  Punca Projek Jalan Meritam-Telahak-Buangabai-Pengkalan Rejab Alami Kelewatan Dikenal Pasti
0 Comments

SELASA, 8 FEBRUARI 2022

LIMBANG: Projek Jalan Meritam-Telahak-Buangabai-Pengkalan Rejab sepanjang 9.5 kilometer (km) yang kini berada dalam Fasa 4 mengalami kelewatan.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, projek Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) yang bernilai RM66.7 juta ini terlewat dalam 43 hari yang mana ia sepatutnya siap pada 19 Januari 2022.

Ujarnya, pihak kontraktor telah digesa menyegerakan penyiapan projek ini supaya rakyat tidak terus tertunggu-tunggu.

“Saya mahu projek ini segera disiapkan kerana sudah terlewat 43 hari tetapi kerja-kerja pembinaan haruslah dibuat dengan mematuhi semua spesifikasi yang telah pun ditetapkan supaya jalan ini bukan sahaja untuk kemudahan masyarakat kita dari segi perhubungan tetapi akan membantu membangunkan kawasan-kawasan di sekitarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melakukan lawatan ke tapak projek tersebut pada Isnin.

Datuk Amar Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli II itu juga menjelaskan terdapat beberapa faktor lain yang menyebabkan kelewatan ini.

“Antara sebab kelewatan ini adalah ada sebahagian daripada jalan ini mengalami mendapan tanah dan kita telah pun mengarahkan Jabatan kerja Raya (JKR) untuk memantau dan mengatasi masalah mendapan ini.

“Kedua, kita juga telah meminta agar kawasan bukit itu direndahkan lagi.

“Ketiganya, kita juga mendapati terdapat sebuah sungai yang culvertnya dibina agak kecil dan ditempatkan di tempat yang tidak begitu sesuai. Jadi saya telah pun meminta culvert itu dibuat baharu dan kontraktor bersetuju supaya dibuat culvert baharu mengikut aliran sungai itu,” katanya.

Beliau memaklumkan kerja-kerja fizikal projek ini setakat Januari 2022 sekitar 84.66 peratus dan mengalami kelewatan dalam sebanyak 15.34 peratus.

Hadir sama Timbalan Menteri II Pembangunan Luar Bandar merangkap Ahli Parlimen Limbang Datuk Hasbi Habibollah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang, bekas Residen Bahagian Limbang Ir. Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Pemangku Residen Bahagian Limbang Sebi Abang, dan Pegawai Daerah Limbang Superi Awang Said.-EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *