Speaker DUN Sarawak Ucap Tahniah Kepada Semua ADUN Sarawak Angkat Sumpah

UKAS  > Edisi-Selatan, Edisi-Utama >  Speaker DUN Sarawak Ucap Tahniah Kepada Semua ADUN Sarawak Angkat Sumpah
0 Comments

ISNIN, 14 FEBRUARI 2022

KUCHING: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar mengucapkan tahniah di atas pelantikan 79 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mengangkat sumpah pada Persidangan Hari Pertama Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Ke-19 ini. 

Ucapan tahniah ini juga ditujukan kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg yang telah berjaya memenangi kerusi DUN N.26 Gedong pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) Sarawak pada 18 Disember 2021. 

“Sekalung tahniah ditujukan khas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.26 Gedong yang telah dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak pada 18 Disember 2021 dan juga pelantikan memegang portfolio seperti Menteri Kewangan dan Ekonomi Baru, Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar dan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar,” katanya semasa membuat pemasyhuran dalam Persidangan Hari Pertama Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Ke-19 di bangunan DUN Sarawak pada Isnin. 

Dalam pada itu, tiga orang ADUN Piasau iaitu Datu Sebastian Ting, ADUN Kuala Rajang Datu Len Talif Salleh dan ADUN Repok Dato Sri Huang Tiong Sii tidak hadir pada persidangan kali ini kerana masih menjalani kuarantin.

Pada PRN-12 Sarawak lepas, Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah memenangi  majoriti melebihi dua pertiga iaitu 76 daripada 82 kerusi DUN yang dipertandingkan yang merupakan satu pencapaian yang cemerlang dalam sejarah pilihan raya. 

Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia juga mengucapkan tahniah kepada 37  ADUN yang telah dilantik menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan Menteri Muda pada 4 Januari serta Timbalan Speaker DUN Sarawak yang telah mengangkat sumpah pada 11 Februari lepas. 

“Saya juga mengucapkan tahniah kepada semua ahli Yang Berhormat yang telah dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan Menteri Muda pada 4 Januari 2022 serta Timbalan Speaker pada 11 Februari 2022 yang lepas,” ujarnya. 

Persidangan Hari Pertama Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Ke-19 ditangguhkan pada Selasa, jam 9:00 pagi.-EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *