Fasa Satu Projek Lebuhraya Pan Borneo Dijangka Siap Disember 2022

UKAS  > Edisi-Utama >  Fasa Satu Projek Lebuhraya Pan Borneo Dijangka Siap Disember 2022
0 Comments

SABTU, 19 FEBRUARI 2022

BINTULU: Pelaksanaan Fasa Satu Projek Lebuhraya Pan Borneo dijangka siap sepenuhnya pada hujung tahun ini.

Menurut Menteri Kanan Kerja Raya Dato’ Sri Fadillah Yusof, kementerian beliau dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak akan memastikan sasaran itu dapat dicapai.

“Secara keseluruhan jajaran Pan Borneo Sarawak kini telah mencapai 78 peratus siap dan beberapa pakej lagi akan dibuka sepanjang tahun ini sehinggalah bulan disember nanti.

“Sasaran JKR Sarawak bersama Kementerian Kerja Raya (KKR) adalah untuk memastikan keseluruhan Lebuh Raya Pan Borneo ini dapat disiapkan selewat-lewatnya tahun ini,” ujarnya

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Pembukaan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak, Jajaran Seksyen Nyabau Pakej Kerja 10 (WPC 10) yang disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Bintulu pada Sabtu.

Dalam pada itu, Dato’ Sri Fadillah menambah, sasaran itu berhadapan dengan cabaran susulan kekangan tenaga pekerja, bahan projek dan harga bahan pembinaan yang masih melambung naik.

Namun beliau optimis dengan komitmen yang ditunjukkan kontraktor telah memberi jaminan sasaran itu dapat dilaksanakan selain memberi tumpuan kepada beberapa pakej yang mengalami kelewatan.

“Tumpuan yang perlu kita beri bersama JKR Sarawak adalah beberapa projek yang agak terkebelakang iaitu di Sarikei, sebahagiannya jajaran di antara Sri Aman dan Betong dan juga di Tatau.

“Tiga bahagian ini agak kritikal termasuk satu lagi di Sibu,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan fasa kedua Lebuhraya Pan Borneo yang melibatkan Sabah-Sarawak Linkroad telah bermula untuk fasa satu dengan anggaran kos RM7 bilion. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *