Qariah Dari Mukah Johan Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Sarawak

UKAS  > Edisi-Selatan >  Qariah Dari Mukah Johan Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Sarawak
0 Comments

ISNIN, 28 FEBRUARI 2022

KUCHING : Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran peringkat Negeri Sarawak pada tahun ini telah melabuhkan tirai dalam acara kemuncak di Malam Penyampaian Hadiah, pada Isnin.

Seramai 23 peserta tilawah Al-Quran dan sembilan peserta menghafaz -Al-Quran telah memperdengarkan bacaan masing-masing bermula 25 Februari lalu.

Johan tilawah Al-Quran bagi kategori qariah menjadi milik qariah yang berasal dari Mukah, Hajah Roziah Haji Ayup.

Roziah mengutip markah tertinggi sebanyak 94 peratus untuk mengatasi peserta yang lain.

Untuk rekod, beliau merupakan penyandang naib johan pertandingan peringkat negeri dalam kategori sama pada 2011 dan 2015.

Kejayaan itu membolehkan beliau membawa pulang wang tunai berjumlah RM10,000 beserta piala iringan, sijil penghargaan serta pakej menunaikan umrah.

Manakala pemenang tempat kedua dan ketiga membawa pulang wang tunai berjumlah RM7000 dan RM5000 beserta piala iringan.

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah serta isteri bagi mewakili Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan di Dewan Majma’ Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah Kompleks Islam Sarawak.

Selain itu, majlis turut diisi dengan persembahan nasyid serta persembahan alunan Qasidah dan seterusnya bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Johan bagi tilawah Al-Quran.

Turut sama menjayakan majlis Menteri Muda Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi serta isteri, Datin Siti Shorgayah Ahmad Zaidin; Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha serta isteri, Datin Jamilah Said serta dif-dif kenamaan yang lain.-EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *