Pesta Bubuk Jadi Platform Ke Arah Matlamat Jadikan Miri Destinasi Pengeluar Produk Bubuk Berkualiti

UKAS  > Edisi-Utara >  Pesta Bubuk Jadi Platform Ke Arah Matlamat Jadikan Miri Destinasi Pengeluar Produk Bubuk Berkualiti
0 Comments

SABTU, 12 MAC 2022

MIRI: Pesta Bubuk merupakan salah satu platform ke arah matlamat Miri sebagai destinasi pengeluar produk bubuk yang berkualiti di Malaysia.

Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato’ Sri Lee Kim Shin berkata, menerusi penganjuran pesta berkenaan produk bubuk yang paling popular di utara Sarawak terutama sekali di Kuala Baram Miri dapat dipromosikan.

“Miri dan Bintulu menjadi sumber destinasi terbesar bagi bubuk atau udang halus.

“Bubuk yang terdapat di Miri mempunyai kualiti yang terbaik untuk menghasilkan belacan, air belacan, sate bubok, keropok bubok, kerepek bubok, cencaluk bubok, rempeyek bubuk, ‘seaweed’ bubuk, bubuk kering, udang kering, semuan kering dan perkasam semuan yang berkualiti.

“Lokasi pasar-pasar ikan di Miri seperti Kampung Batu Satu Kuala Baram, Kampung Piasau Utara, Kampung Luak dan Kampung Kuala Bakam menjadi tumpuan pelancong dan penduduk setempat bagi membeli hasil bubuk para nelayan,” katanya.

Beliau berucap demikian semasa Pesta Bubok Miri 2022 anjuran Majlis Bandaraya Miri bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKK) Kampung Batu Satu Miri di Pasar Nelayan Kampung Batu Satu, Kuala Baram pada Sabtu.

Dato Sri Lee menambah, penjualan hasil produk bubuk oleh penduduk setempat bukan sahaja dapat menjana pendapatan malah secara tidak langsung, hasil bubuk menjadi aset pelancongan yang mampu memberi pendapatan yang lumayan kepada nelayan dan pembuat belacan di Miri untuk berkecimpung dalam sektor pelancongan.

Dalam pada itu, beliau juga berkata pihak kerajaan dan para penggiat industri pelancongan perlu mengenalpasti dan mengambil peluang-peluang baharu untuk meningkatkan lagi pertumbuhan sektor pelancongan serta mencari penyelesaian bagi menghadapi cabaran-cabaran yang mendatang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin itu turut memberitahu, produk-produk bubuk yang dihasilkan juga perlu dipromosikan lebih giat di media massa.

Turut hadir Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan 1 (Pelancongan) Datuk Sebastian Ting Chiew Yew; Timbalan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri, Julaihi Mohamad; Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Pelancongan Kaunselor Warziedea Ahmad dan Ketua Kampung Batu 1 Mohd Yusop.-EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *