TEGAS & Shell Terus Beri Manfaat Kepada Usahawan Di Sarawak

UKAS  > Edisi-Selatan >  TEGAS & Shell Terus Beri Manfaat Kepada Usahawan Di Sarawak
0 Comments

ISNIN, 14 MAC 2022

KUCHING : Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) dengan kerjasama Shell Malaysia terus memberi peluang kepada usahawan-usahawan yang terpilih memasuki rantaian nilai Shell Malaysia.

Timbalan Menteri Sumber Asli Dan Pembangunan Bandar merangkap Pengerusi TEGAS, Datu Len Talif Salleh memberitahu, kedua belah pihak boleh bekerjasama dalam memberi manfaat kepada rakyat sarawak khususnya dalam meningkatkan pembangunan keusahawanan dan mengembangkan syarikat pemula dan usahawan sosial di negeri ini.

Jelasnya, hasil kejayaan syarikat pemula dari Program Shell LiveWIRE yang inovatif menjadi inspirasi kepada rakyat sarawak untuk menceburi bidang keusahawanan.

“Melalui jurulatih perniagaan dan memberikan akses bagi ruang kerja bersama, usahawan yang disokong oleh program LiveWIRE telah mencapai banyak anugerah.

“Kami berbangga bahawa beberapa rakyat Sarawak melalui program Shell LiveWIRE ini telah diiktiraf secara global dan mampu bersaing di pasaran global,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Anugerah Shell LiveWIRE Sarawak 2021 di Kuching, pada Isnin.

Dalam program berkenaan, Datu Len menyampaikan anugerah kepada  lima usahawan terbaik melalui Program Pembangunan Usahawan Shell LiveWIRE 2021 untuk menerima geran perniagaan sebanyak RM15,000 dan bimbingan perniagaan selama 12 bulan bagi membantu mereka bermula dan mengembangkan perniagaan.

Antara lima pemenang dalam program tersebut adalah Aaron Tan Chun Kwang dari UAS Mapping, Nisha Haslinda Hasbi dari Bintulucoffeescape dan Anne Isabelle Chi dari Ruti & Kupi.

Dua pemenang lagi iaitu Tom Low Sing Ho dari Bless Borneo Camper dan Muhammad Hafiz Hariz Khatem dari Komubox. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *