SELASA, 15 MAC 2022

LAWAS: Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (PROSPEK) akan dilaksanakan di beberapa kampung di daerah ini.

Ahli Parlimen Lawas Dato’ Henry Sum Agong telah menghadiri taklimat mengenai projek tersebut di Pejabat Daerah Kecil Trusan dan melakukan lawatan ke tapak projek pada Sabtu.

Taklimat berhubung PROSPEK ini telah disampaikan Ketua Pengarah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Tarmizi Abdul Rahman mengenai beberapa projek yang telah dilaksanakan di beberapa tempat di negara ini termasuk Lawas yang terpilih untuk dilaksanakan.

KPLB dengan kerjasama Pejabat Daerah Lawas telah menyerahkan PROSPEK ini kepada Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) untuk membuat kajian kesesuaian projek tersebut ditempatkan nanti.

Sementara itu, Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Lawas, Aminul berkata, sebagai permulaan, projek ini akan dilaksanakan di Kampung Long Tuan, Beriwan Tengah, Long Sebulu, Kampung Tengah, Kampung Serapang dan kawasan Sundar dan Awat-Awat selepas UNIMAS selesai membuat kajian.

Selesai taklimat, beliau serta rombongan yang diketuai Ketua Pengarah KPLB Malaysia terus melawat kesemua kampung yang dikenal pasti bakal projek ini dilaksanakan nanti.-EDISI UKAS

add comment