Penetapan Komposisi Bilangan Kerusi Dalam Parlimen Tertakluk Di Bawah Perlembagaan Persekutuan

UKAS  > Edisi-Utama >  Penetapan Komposisi Bilangan Kerusi Dalam Parlimen Tertakluk Di Bawah Perlembagaan Persekutuan
0 Comments

KHAMIS, 17 MAC 2022

KUALA LUMPUR: Penetapan komposisi bilangan kerusi dalam parlimen adalah tertakluk di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen Dan Undang-Undang), Dato Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar memberitahu, sebarang penambahan atau pengurangan bilangan kerusi akan melibatkan pindaan kepada Perkara 45 iaitu Perlembagaan Persekutuan bagi komposisi Dewan Negara manakala Perkara 46 iaitu Perlembagaan Persekutuan bagi komposisi Dewan Rakyat.

Jelasnya, Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa kajian semula persempadanan adalah berdasarkan Jadual Ke-13 dan boleh dimulakan dalam dua cara.

Menurut Dato Sri Wan Junaidi, cara pertama adalah apabila berlaku pindaan undang-undang ke atas komposisi bilangan keanggotaan Ahli Dewan Rakyat atau Ahli Dewan Undangan Negeri dan yang kedua pula adalah tamat lat tempoh sekurang-kurangnya lapan tahun daripada tarikh siap kajian semula persempadanan sebelumnya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan lisan bagi menjawab Ahli Parlimen Sibuti, Lukanisman Awang Sauni di Dewan Rakyat pada Rabu.

Selain itu, jelas Dato Sri Wan Junaidi, isu tersebut juga telah dibangkitkan oleh Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Negeri Sarawak dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Rakan Sekutu yang dipengerusikan secara bersama oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) pada 8 Februari 2022 yang lalu.

Katanya, mesyuarat telah bersetuju supaya isu ini dirujuk kepada jawatankuasa teknikal yang dipengerusikan oleh Peguam Negara untuk dibincangkan dan diteliti dengan lebih lanjut sebelum kerajaan membuat apa-apa keputusan.

Justeru, apa jua tindakan yang akan diambil oleh pihak Kerajaan, khususnya melibatkan pindaan Perlembagaan Persekutuan perlu melalui kajian yang mendalam dan pandangan serta maklum balas daripada semua pihak juga mesti diperhalusi khususnya permohonan daripada Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *