KHAMIS, 24 MAC 2022

LIMBANG: Perkembangan teknologi dan perubahan zaman yang berlaku hari ini telah membolehkan teknologi digital digunakan secara meluas termasuklah dalam pemasaran perniagaan. 

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, penggunaan platform ekonomi digital ini harus difahami dan digunakan sepenuhnya termasuklah penjaja, peniaga dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang sekaligus dapat membantu memperluaskan dan mengembangkan lagi perniagaan mereka.

Jelas beliau lagi, Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) telah diamanahkan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg untuk melaksanakan inisiatif digital seperti Program Go Digital Sarawak dan Digital Marketing Sarawak

Go Digital Sarawak menyediakan bantuan maksimum RM10,000 untuk membeli peralatan dan keperluan digital seperti membeli laptop, digital camera, drone dan sebagainya. 

“Melalui program ini usahawan akan dibimbing dan dipantau selama 6 bulan untuk memastikan mereka boleh menggunakan peralatan digital dengan efektif. 

“Manakala, Digital Marketing Sarawak menyediakan latihan intensif selama minimum 6 bulan untuk pembangunan kapasiti. 

“Latihan ini termasuklah pengurusan keusahawanan digital bagi Start-Ups dan Accreditation Digital Entrepreneurship Certification,” katanya. 

Beliau berucap dalam Majlis Penangguhan Kursus Pemasaran Menggunakan Website di Hotel Purnama Limbang pada Selasa. 

Seramai 32 orang usahawan telah menyertai kursus ini yang membantu meningkatkan kemahiran mereka dalam pemasaran secara dalam talian.

Ujar Datuk Amar Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli II dan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) juga mengadakan pelbagai progam pembangunan kapasiti yang dijalankan secara fizikal dan dalam talian bagi membantu usahawan untuk mempromosi dan memasarkan produk dan perkhidmatan mereka. 

MINTRED turut menyedia dan melaksanakan beberapa bantuan kewangan dalam bentuk geran dan pinjaman seperti Skim Pinjaman Industri Kecil & Sederhana (SPIKS), Graduan ke Arah Keusahawanan (GERAK), Usahawan Teknikal dan Vokasional (USTEV), Skim Kredit Mikro Sarawak (SKMS) dan Bantuan Sarawakku Sayang SME 2.0 Special Relief Fund (SRF). 

Pada majlis itu, beliau telah menyerahkan mock cek Skim Kredit Mikro Sarawak (SKMS) berjumlah RM1,270,800 daripada Agrobank kepada 47 orang peserta di daerah Limbang dan simbolik penyampaian siji penyertaan kursus.

Hadir sama Pemangku Residen Bahagian Limbang Sebi Abang, Ketua Penolong Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak Sayed Ismail Nasiruddin Wan Hashim, Pegawai Daerah Limbang Superi Awang Said dan Pembantu Kredit Agrobank Limbang Mohamad Zaidi Abdullah. -EDISI UKAS

add comment