Zon Industri Akuakultur Diwujudkan Di Loba Stoh, Rambungan

UKAS  > Edisi-Selatan >  Zon Industri Akuakultur Diwujudkan Di Loba Stoh, Rambungan
0 Comments

KHAMIS, 24 MAC 2022

LUNDU: Kementerian Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak komited untuk mewujudkan Zon Industri Akuakultur (ZIA) di kawasan Loba Stoh, Rambungan.

Menterinya, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom memberitahu, ini adalah selari dengan sasaran kerajaan untuk menjadikan Sarawak sebagai pengeksport makanan utama termasuk menjana RM1 bilion melalui penternakan udang menjelang 2030.

“Rancangan kementerian adalah untuk menambah, memperluas serta meningkatkan kawasan ternakan udang komersial sekurang-kurangnya sebanyak 7,000 hektar di seluruh Sarawak,’’ ujarnya setelah melawat ke Sea Horse Marine Life Sdn Bhd di Loba Stoh, Rambungan pada Rabu.

Jelas beliau, Sarawak pada ketika ini hanya menggunakan kawasan tanah sejumlah 300 hektar sebagai kolam ternakan udang.

“Ini masih jauh berbeza berbanding Sabah dan Perak yang mempunyai kira-kira 1,000 hektar,’’ tegas beliau.

“Kawasan Loba Stoh ini turut berpotensi menjadi lokasi strategik dan kondusif untuk dimajukan sebagai taman perindustrian udang kerana ianya hanya sekitar satu jam dari bandar raya Kuching,’’ tambahnya lagi.

Sementara itu, Dato Sri Dr. Stephen Rundi menyeru syarikat-syarikat sedia ada agar berkongsi teknologi moden yang digunakan bagi membangunkan lagi industri tersebut di Sarawak.

“Perkongsian berkenaan mampu menggalakkan lebih ramai penternak dan usahawan kecil untuk menceburi bidang ini.

“Kerajaan sedia membantu pemain industri dalam pembinaan kemudahan asas seperti bekalan elektrik, air dan jalan raya asalkan syarikat sedia ada sudi berkongsi ilmu teknologi pertanian pintar yang berkaitan serta menyediakan khidmat nasihat kepada penternak kecil-kecilan,’’ jelas beliau.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak (Pembangunan Wilayah), Maclaine Ben @ Martin Ben, Pegawai Daerah Lundu, Gustian Durani, Pemangku Pengarah Jabatan Pertanian Sarawak, Dominic Chunggat, serta Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak, Gom Raway. -Edisi UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *