Datu Ik Pahon Pengerusi Mesyuarat Penyelarasan Lanjut Pembukaan Sempadan Malaysia-Indonesia Di ICQS Tebedu

UKAS  > Edisi-Selatan >  Datu Ik Pahon Pengerusi Mesyuarat Penyelarasan Lanjut Pembukaan Sempadan Malaysia-Indonesia Di ICQS Tebedu
0 Comments

AHAD, 27 MAC 2022

TEBEDU: Satu mesyuarat penyelarasan lanjut mengenai kesiapsiagaan pembukaan sempadan Malaysia-Indonesia telah diadakan di Bilik Mesyuarat Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini pada Jumaat.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Transformasi Luar Bandar) merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datu Ik Pahon Joyik hadir mempengerusikan mesyuarat tersebut.

Katanya, berdasarkan keputusan kerajaan membuka kembali sempadan negara bermula 1 April ini, garis panduan untuk pengembara seperti yang telah ditetapkan perlu dititik berat.

Ia termasuk syarat pra-pelepasan yang perlu diselesaikan oleh pengembara, antaranya memuat turun aplikasi MySejahtera, menjalani Ujian Pengesanan COVID-19 (RTK Antigen) dan membeli insuran sebelum memasuki Sarawak.

Jelas beliau, ini kerana Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengumumkan bahawa pembelian insuran itu adalah wajib untuk setiap warga asing atau pengembara yang ingin memasuki Malaysia sama ada melalui udara, darat mahupun laut bagi tujuan membiayai kos perubatan di pusat kuarantin sekiranya mereka disahkan positif COVID-19.

Turut dibincangkan berhubung masalah capaian internet di ICQS Tebedu yang dikhuatiri menyukarkan proses pendaftaran pengembara kelak.

Justeru, beliau berharap segala permasalahan akan segera diselesaikan dan semua yang dirancang akan berjalan dengan lancar.

Mesyuarat yang berlangsung pada jam 2.00 petang itu melibatkan beberapa pihak bertanggungjawab antaranya Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Negeri (UKPN), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Telekom Malaysia, termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *