Sarawak Sertai Semua Acara SUKMA 2022 Edisi Khas Di Kuala Lumpur

UKAS  > Edisi-Selatan >  Sarawak Sertai Semua Acara SUKMA 2022 Edisi Khas Di Kuala Lumpur
0 Comments

SELASA, 29 MAC 2022

KUCHING: Kontinjen Sarawak akan menyertai kesemua 31 jenis sukan yang dipertandingkan dalam Sukan Malaysia (SUKMA 2022) Edisi Khas di Kuala Lumpur yang akan berlangsung pada bulan September hingga Oktober 2022.

SUKMA 2022 Edisi Khas akan mempertandingkan 16 jenis sukan wajib dan 15 sukan pilihan.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sudah tiba masanya atlet-atlet di negeri ini harus bersiap siaga dari segi fizikal dan mental sebelum berlangsungnya temasya SUKMA berlangsung kelak.

“Semestinya, setiap kali kita berhadapan dengan temasya sukan yang paling besar di Malaysia, kita seharusnya bersedia dan mengambil perkara ini dengan serius seperti mana saya memperingatkan kepada pertubuhan sukan dan koordinator sukan sebelum ini agar mempersiapkan para atlit kita di temasya SUKMA ini nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Sesi Taklimat Persediaan SUKMA Ke-20 Edisi Khas 2022 kepada Persatuan-Persatuan Sukan bertempat di Hotel UCSI pada Selasa.

Mengulas lanjut mengenai SUKMA 2022 Edisi Khas, Dato Sri Abdul Karim memberitahu tidak kurang daripada 1,000 orang ahli kontinjen Sarawak termasuk para atlet dan pegawai akan berada di temasya tersebut.

“Jumlah atlet dan pegawai pengiring hanya akan diketahui selepas kita mendapat maklum balas daripada persatuan-persatuan sukan, tetapi saya percaya tidak kurang daripada 1,000 orang termasuk atlit dan para pegawai,” jelasnya. 

Turut hadir pada sesi taklimat itu iaitu Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (Pembangunan Belia dan Sukan) Dato Gerald Rentap Jabu dan Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (Pembangunan Usahawan) Dr Ripin Lamat, Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Nancy Jolhi, Pemangku Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Sarawak, Semawi Mohamad, dan ahli-ahli persatuan sukan. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *