Raja Permaisuri Agong Berkenan Lawat Kompleks Penjara Puncak Borneo

UKAS  > Edisi-Selatan >  Raja Permaisuri Agong Berkenan Lawat Kompleks Penjara Puncak Borneo
0 Comments

SELASA, 29 MAC 2022

KUCHING: Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke Kompleks Penjara Puncak Borneo di sini pada Selasa.

Keberangkatan tiba Raja Permaisuri Agong di kompleks itu diringi oleh Y.M Tengku Datin Puteri Marina Tengku Ibrahim bersama isteri Premier Sarawak merangkap Penaung Projek Inovasi Warisan Songket dan Keringkam Sarawak, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang.

Lawatan Baginda ke Pusat Vokasional Industri (PVI) Songket SaraPride Penjara Puncak Borneo adalah bagi melihat sendiri hasil kerja tangan yang dihasilkan oleh penghuni penjara.

Selain itu, Raja Permaisuri Agong turut melawat Galeri Pusat Vokasional Industri yang mempamerkan keunikan songket.

Sementara itu, Komisioner Jeneral Penjara Malaysia, Dato’ Nordin Muhamad menzahirkan rasa syukur terhadap keberangkatan Baginda ke kompleks berkenaan dan berterima kasih di atas sokongan dan keprihatinan Baginda yang tidak berbelah bahagi terhadap komuniti penjara.

Beliau memberitahu, hasil daripada termeterainya Memorandum Perjanjian (MOA) antara kerajaan Sarawak dan Jabatan Penjara Malaysia pada 26 Januari 2022, sebanyak RM6 juta telah diperuntukkan untuk membina Bengkel Songket SaraPride bagi Projek Warisan Old Kuching Smart Heritage (OKSHE) yang menyasarkan 100 rumah tenun yang mampu menghasilkan lebih banyak kain songket Sarawak dalam usaha mengekalkan warisan Sarawak. 

Katanya, sejumlah 289 kain songket dan empat helai selendang telah berjaya dihasilkan oleh penghuni penjara sepanjang musim penularan wabak COVID-19 ini. 

Untuk rekod, Penjara Puncak Borneo merupakan penjara ketujuh berkolaborasi bersama Raja Permaisuri Agong dalam pembangunan bengkel tenun.

Hadir sama dalam lawatan Raja Permaisuri Agong, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah; Timbalan  Menteri di Pejabat Premier Sarawak Undang-Undang, Perjanjian Malaysia 1963 dan Perhubungan Negeri Persekutuan, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali; Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak), Datuk Rosey Yunus serta Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak (Transformasi Prestasi dan Penyampaian Perkhidmatan) yang juga Pengerusi OKSHE, Datu Dr. Sabariah Putit.-EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *