Kerajaan Akan Bincang Tindakan Seterusnya Bantu Syarikat Swasta Dari Malaysia Terlibat Dalam Pelaburan Di Indonesia

UKAS  > Edisi-Utama >  Kerajaan Akan Bincang Tindakan Seterusnya Bantu Syarikat Swasta Dari Malaysia Terlibat Dalam Pelaburan Di Indonesia
0 Comments

RABU, 30 MAC 2022

NUSANTARA: Kerajaan Malaysia masih mengkaji bentuk keterlibatan syarikat dari Malaysia untuk melabur di Indonesia khususnya dalam membangunkan ibu kota Nusantara,” demikian menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Panglima Dr Johnity@Maximus Ongkili ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke Titik Nol di Tapak Ibu Kota Baru Indonesia di Nusantara pada Isnin. 

Katanya, mereka baru sahaja melihat ‘master plan’ dan ‘time frame’ Kerajaan Indonesia dan akan berbincang lebih lanjut mengenai tindakan yang akan diambil bagi membantu pelabur-pelabur dari Malaysia untuk melabur di Indonesia. 

“Dalam hal ini, itulah kita katakan bahawa masih awal pada saat ini tetapi kami telah melihat master plan Kerajaan Indonesia dan time framenya. 

“Dari situlah pihak kedutaan kita (Kerajaan Malaysia) akan membantu para pelabur Malaysia khasnya untuk mengambil bahagian di dalam pelaburan dan ekonomi di Indonesia,” katanya. 

Jelas beliau lagi, buat permulaan ini hubungan sempadan ekonomi melibatkan Sarawak dan Sabah serta Kalimantan perlu diperkukuhkan terlebih dahulu biarpun ianya telah pun berjalan sebelum ini. 

Terdahulu, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menyifatkan perhubungan Malaysia khususnya Sarawak dan Sabah dengan Kalimantan Indonesia harus dipertingkatkan. 

Jelasnya, selepas ini banyak peluang ekonomi akan muncul dan syarikat swasta perlu merebut peluang ini dengan meningkatkan penglibatan kedua-dua negara Malaysia dan Indonesia. 

“Kita juga membincangkan bersama dengan pihak swasta untuk melihat bagaimana pihak swasta daripada Malaysia lebih-lebih lagi dari Sarawak dan Sabah terlibat dalam pembangunan ini. 

“Kita melihat yang penting dari segi yang sedang berkembang sekarang dengan ianya boleh dipertingkatkan misalnya sempadan ekonomi dan juga kita fikirkan menyertai pembangunan sempadan,” katanya. 

Tambah Datuk Amar Awang Tengah lagi, beliau mencadangkan agar jalan raya di selatan dan utara Kalimantan dapat disambung dan dinaik taraf terus ke Sarawak dan Sabah serta membina lebih banyak Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di sempadan. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *