Sektor Utiliti & Telekomunikasi Tingkatkan Pembangunan Ekonomi Ke Arah Transformasi Digital

UKAS  > Edisi-Utama >  Sektor Utiliti & Telekomunikasi Tingkatkan Pembangunan Ekonomi Ke Arah Transformasi Digital
0 Comments

KHAMIS, 31 MAC 2022

KUCHING: Sektor utiliti dan telekomunikasi sangat penting kini bagi meningkatkan pembangunan ekonomi dan infrastruktur terutamanya transformasi digital dan pembangunan sosial-ekonomi.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg memberitahu, penubuhan portfolio telekomunikasi dalam Kementerian Utiliti Dan Telekomunikasi baru-baru ini mempunyai peranan yang lebih besar dan penting dalam perjalanan ke arah ekonomi digital dan era ekonomi baharu.

Menurut beliau, pembentukan kedua-dua kementerian itu adalah selaras dengan objektif kerajaan negeri untuk menyediakan infrastruktur asas iaitu bekalan air dan elektrik tanpa gangguan yang diperlukan untuk mengubah ekonomi kepada pendigitalan.

“Ini ditambah lagi dengan kemudahan telekomunikasi yang akan menghubungkan setiap sektor ekonomi kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sarawak Utility & Telecommunication Conference 2022 (SUTC2022) yang bertemakan “Challenges and the Way Forward in Providing Utilities and Telecommunication in Sarawak by the Year 2030” di sini pada Khamis.

Premier Sarawak menambah, walaupun terdapat isu dan cabaran di kawasan terpencil, negeri ini masih berada di landasan yang tepat dalam menyediakan kemudahan asas sepenuhnya sekaligus memberikan manfaat kepada rakyat.

Katanya lagi, penubuhan sekolah antarabangsa berdasarkan sukatan pelajaran Cambridge untuk memberi penekanan kepada Bahasa Inggeris dan Bahasa utama yang lain termasuk Bahasa Mandarin bagi membolehkan untuk berkomunikasi dengan pemain global yang lain.

“Seperti sedia maklum, kami menubuhkan sekolah antarabangsa berdasarkan sukatan pelajaran Cambridge bagi menekankan Bahasa Inggeris serta bahasa penting lain termasuk Bahasa Mandarin di samping bahasa kebangsaan kita.

“Dan dengan penguasaan bahasa ini, kita boleh menghubungkan diri dengan pemain global yang lain dan justeru itu pemikiran rakyat Sarawak juga harus global dalam menjadikan kita pemain utama di rantau ini,” ujarnya.

Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Julaihi Narawi, Menteri di Pejabat Premier Sarawak, Datuk John Sikie Tayai, Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin, Timbalan Menteri Ultiliti dan Telekomunikasi I (Telekomunikasi), Datuk Liwan Lagang, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi II (Utiliti), Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi dan Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Dr Hazland Abang Hipni. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *