Setiap Perumahan Dalam Kawasan MLNG Dicadangkan Ditubuhkan Bomba Komuniti

UKAS  > Edisi-Utara >  Setiap Perumahan Dalam Kawasan MLNG Dicadangkan Ditubuhkan Bomba Komuniti
0 Comments

KHAMIS, 31 MAC 2022

BINTULU: Timbalan Menteri Infrastuktur dan Pembangunan Pelabuhan Dato Majang Renggi mencadangkan setiap perumahan di kawasan MLNG ini ditubuhkan Bomba Komuniti. 

Katanya, dengan penubuhan Bomba Komuniti ini akan dapat mencegah sesuatu bencana seperti kebakaran yang berlaku ini. 

“Pada masa depan, saya mencadangkan supaya dapat menubuhkan Bomba Komuniti di setiap kawasan perumahan khususnya di MLNG ini yang kawasanya agak besar. 

“Ini supaya dengan adanya Bomba Komuniti, kita serba sedikit boleh bantu macam mana kita dapat mencegah dan menghindarkan bencana yang berlaku di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas meninjau kebakaran 10 buah Rumah Teres MLNG, Bintulu pada Selasa. 

Ujar Dato Majang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samalaju pihaknya akan berbincang dengan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Bintulu bagi melihat apakah bantuan-bantuan yang boleh kita salurkan kepada mangsa kebakaran. 

Dalam pada itu, beliau telah mengagihkan sumbangan sebanyak RM2,000 kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang terlibat dalam kebakaran itu. 

Sementara itu, Pengerusi JPBB Bintulu merangkap Residen Bahagian Bintulu Datu Jack Aman Luat berkata, pihaknya akan berbincang dengan agensi kerajaan berkenaan bentuk bantuan awal yang akan diberikan kepada mangsa kebakaran. 

“Jadi, apa yang akan kita bincang nanti adalah bantuan awal seperti dari segi makanan, penginapan dan sebagainya. 

“Kita akan berbincang dengan beberapa agensi kerajaan yang terlibat secara langsung tentang bantuan ini. 

“Kita juga difahamkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah memberikan bantuan makanan dan sebagainya kepada mangsa kebakaran,” katanya. 

Bagi mangsa kebakaran Daud Anai, 62 tahun, beliau bernasib baik apabila berjaya dikejutkan jiran dari tidur dan berjaya menyelamatkan diri. 

Bagaimanapun, barangan dan harta benda tidak dapat diselamatkan 

“Barang pun tidak dapat diselamatkan. Dokumen semua hangus,” katanya. 

Menurut Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11:20 malam dan jentera Bomba sampai di lokasi kejadian 10 minit kemudian. 

Angin kuat telah menyebabkan api merebak dengan cepat dan tekanan air rendah menyukarkan Bomba melakukan kerja-kerja pemadaman api. 

Kebakaran hanya dapat dipadam sepenuhnya pada jam 5:00 pagi yang turut mendapat bantuan daripada anggota dari BBP Bintulu Port.-EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *