JUMAAT, 1 APRIL 2022

TEBEDU: Proses kemasukan rakyat Malaysia yang berada di Indonesia dan balik ke Sarawak berjalan lancar susulan pembukaan semula pintu sempadan mulai hari ini.

Tinjauan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu mendapati petugas keselamatan di ICQS termasuk dari Kementerian Kesihatan (KKM) mula bertugas pada pukul 6 pagi.

Bagaimanapun keadaan agak lenggang apabila didapati tidak ramai individu yang keluar dan masuk melalui ICQS itu.

Difahamkan kebanyakan mereka yang masuk itu adalah pekerja sektor perladangan yang memiliki permit kerja dan juga untuk mendapatkan perkhidmatan perubatan di Hospital Pakar di Kuching.

Manakala bagi yang balik masuk ke Indonesia adalah mereka yang memiliki pas sosial.

Selain itu, hanya rakyat Indonesia yang memiliki permit kerja di Sarawak saja yang dibenarkan masuk.

Semua individu yang melalui pintu masuk di ICQS diwajibkan mematuhi prosedur operasi standar (SOP) yang telah ditetapkan.

Turut hadir melakukan tinjauan adalah Timbalan Residen Bahagian Serian Selamat Jati dan Pegawai Daerah Tebedu, Joseph Liaw. -EDISI UKAS

add comment