Dato Sri Dr Sim Tinjau Perkembangan Projek Di DUN Batu Kawah

UKAS  > Edisi-Selatan >  Dato Sri Dr Sim Tinjau Perkembangan Projek Di DUN Batu Kawah

SELASA, 5 APRIL 2022

KUCHING: Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Prof. Dr. Sim Kui Hian telah meninjau perkembangan beberapa projek di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kawah.

Beliau bersama rombongan memulakan tinjauan di projek perlindungan Tebingan Sungai Kampung Rantau Panjang yang merupakan fasa kelima kepada projek ‘Batu Kawa Riverbank Park’ pada Ahad.

“Jabatan Pengairan dan Saliran telah menyerahkan kontrak bernilai RM11.3 juta untuk projek ini kepada pihak kontraktor terbaharu yang dipilih melalui tender terbuka,’’ katanya dalam satu catatan di Laman Facebook.

Jelas Timbalan Premier itu, ini merupakan kontraktor kedua selepas perkhidmatan kontraktor terdahulu dibatalkan kerana gagal memulakan kerja-kerja pembinaan setelah setahun mendapatkan tender.

Seterusnya, Dato Sri Prof. Dr. Sim meninjau status pelaksanaan projek sistem saliran di Taman Desa Wira. 

Beliau difahamkan, pembinaan bund yang menelan kos RM20 juta untuk mengatasi masalah perparitan yang dihadapi di kawasan tersebut sedang berkembang maju.

“Walaupun terdapat penangguhan disebabkan wabak COVID-19, namun kerja-kerja pembinaan kini terus maju dengan lebih banyak pembukaan tender dijangka pada masa hadapan untuk kerja-kerja di lorong-lorong lain,’’ ujarnya.

Sejurus selepas itu, Dato Sri Prof. Dr. Sim mendengar taklimat daripada Jabatan Kerja Raya Kuching berkenaan projek naik taraf lampu isyarat Desa Wira yang menelan kos sebanyak RM1.4 juta.

“Tahap pembinaan setakat kini ialah 80 peratus dan ianya dijangka siap pada bulan Mei selepas semua kelengkapan utiliti di sekitar (SESCO dan SMA) dialihkan dari kawasan tapak projek,’’ katanya lagi.

Turut hadir pada lawatan kerja tersebut ialah Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak, Ir. Ahmad Denney Ahmad Fauzi. -Edisi UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *