SABTU, 9 APRIL 2022

LUNDU: Kompleks Imigresen Kastam dan Kuarantin Sarawak (CIQS) Biawak, Lundu dan Pos Lintas Batas Negara (PLBN) Aruk Kalimantan, Indonesia akan dibuka pada 14 April ini.

Demikian jelas Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) pada Jumaat.

Beliau yang juga Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak (Transformasi Luar Bandar) sebelum itu mempengerusikan mesyuarat sempena lawatan kerja ke CIQS Biawak Lundu di Pejabat Daerah Lundu di sini.

Justeru katanya, semua agensi yang terlibat perlu bersiap sedia untuk menerima pergerakan masuk daripada Indonesia.

“Kerana di Singapura dan Thailand juga kenderaan asing sudah dibenarkan masuk, maka kita telah berbincang dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Lembaga Perlesenan kenderaan Perdagangan (LPKP).

“Kriteria yang sedia ada, kalau dahulu pengangkutan awam memerlukan permit daripada LPKP dan sekiranya kenderaan persendirian diperiksa oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di pintu sempadan dan juga pembelian insurans adalah tidak berubah,” katanya lagi.

Tambahnya, walaupun pergerakan ini dibenarkan mengikut syarat agensi-agensi sedia ada samada JPJ, Imigresen dan Kastam tetapi semua mereka ini adalah wajib untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) COVID-19.

Jelasnya, warga Indonesia adalah diwajibkan untuk mematuhi empat syarat SOP COVID-19 ketika hendak memasuki negara ini melalui CIQS Biawak.

“Syarat yang pertama sebelum warga Indonesia memasuki ke negara ini mereka haruslah memuat turun, mendaftar MySejahtera dan mengaktifkan applikasi MySejahtera manakala syarat kedua mendaftar mendapatkan kad MyTravel dan yang ketiganya mereka harus menunjukkan keputusan ujian Covid-19.

“Syarat keempat mereka harus membeli insuran Covid-19 dengan nilai minima 20 ribu USD. Insuran ini penting untuk memastikan jika mereka dijangkiti Covid-19 semasa di negara kita dan ianya digunakan untuk mereka mendapatkan rawatan di hospital swasta,” katanya.

Beliau bersama agensi terbabit kemudiannya mengadakan lawatan ke CIQS Biawak dan PLBN Aruk sejurus selepas selesai mesyuarat.

Kehadiran rombongan di kedua-dua pintu sempadan berkenaan telah disambut mesra oleh Konsul Jenderal Republik Indonesia untuk Sarawak di Kuching, Raden Sigit Witjaksono.

Semasa dalam lawatan berkenaan, Datu Ik Pahon telah diberi penerangan oleh para petugas di PLBN Aruk mengenai proses pemeriksaan terhadap warga Indonesia yang akan keluar untuk memasuki sempadan CIQS Biawak, Lundu.

Dalam lawatan singkat itu, Datu Ik Pahon turut mencadangkan kepada Raden Sigit Witjaksono supaya kerjasama antara kedua-dua pihak bagi mengadakan satu simulasi berkaitan proses keluar dan masuk di kedua-dua pintu sempadan tersebut sebelum 14 April.-EDISI UKAS

add comment