70 Sertai Kursus ‘SOP on Fire Prevention & Suppression’, Cegah Pembakaran Terbuka Kawasan Tanah Gambut

UKAS  > Edisi-Utara >  70 Sertai Kursus ‘SOP on Fire Prevention & Suppression’, Cegah Pembakaran Terbuka Kawasan Tanah Gambut
0 Comments

RABU, 13 APRIL 2022

MIRI: Seramai 70 orang peserta telah menyertai program Kursus ‘SOP on Fire Prevention and Suppression’ yang telah diadakan di Universiti Curtin, Miri pada Isnin.

Program tersebut merupakan anjuran Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB) Pejabat Miri dan Universiti Curtin, Miri.

Dalam pada itu, program ini juga mendapat kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Miri, Jabatan Meteorologi Sarawak, Pejabat Residen Bahagian Miri, Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Miri, Jabatan Alam Sekitar Sarawak, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Majlis Bandaraya Miri (MBM), Jabatan Tanah dan Survei Miri dan semua pemilik tanah persendirian di Kuala Baram.

Ia diadakan bagi memberi pendedahan kepada para peserta mengenai langkah-langkah pencegahan dan pemadaman pembakaran terbuka di kawasan tanah gambut yang mudah terbakar.

Hadir merasmikan program ini ialah Timbalan Pengawal Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB), Paul Bond Chamberlin.

Beliau berharap dengan pelaksanaan Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk pencegahan pembakaran oleh pemilik tanah, kejadian pembakaran kawasan paya gambut dapat dielakkan daripada berulang.

Selain itu, telah diadakan taklimat berkenaan tinjauan cuaca dari bulan April ke September 2022 yang disampaikan Pengarah Jabatan Meteorologi Sarawak Hamburi Hamdan dan taklimat SOP oleh Jefrin Johnny Gutuk dari NREB.

Di samping itu, Universiti Curtin juga memberi pengkongsian ilmu dan pengalaman mereka dalam kawalan dan pemadaman api di tanah gambut.

Sementara itu, taklimat Khas dan demontrasi pemadaman api gambut telah diberikan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng, Mohamad Hamdani Madon.-EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *