JPBN Sarawak Laksana Tugas Dengan Baik Kekang Wabak Covid-19

UKAS  > Edisi-Tengah >  JPBN Sarawak Laksana Tugas Dengan Baik Kekang Wabak Covid-19
0 Comments

ISNIN, 18 APRIL 2022

SIBU: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak telah melaksanakan tugasnya dengan baik dalam menangani wabak Covid-19 di negeri ini.

Menurut Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dr Annuar Rapaee, sepanjang penglibatan selama dua tahun, JPBN Sarawak telah memainkan peranannya dengan begitu baik khususnya dalam melaksanakan program vaksinasi.

Katanya, ini dicapai kerana JPBN Sarawak menjalinkan kerjasama erat bersama Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak dalam menangani wabak Covid-19.

“Saya berpendapat JPBN Sarawak telah menjalankan tugas dengan baik selama dua tahun ini terutama dalam program vaksinasi. Itu sasaran kita sebelum ini.

“Selain itu, kita boleh lihat kadar vaksinasi dos penggalak di negeri ini adalah tertinggi di negara ini termasuk program PICKids 5-11 tahun juga tertinggi,” katanya ketika ditemui media semasa program agihan bubur lambuk di Jalan Bandung, Sibu pada Ahad.

Program tersebut anjuran bersama Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bandung & Barieng dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Bandung & Barieng.

Terdahulu, Dr Annuar yang juga ADUN Nangka turut serta mengagihkan bubur lambuk dan bubur pedas di sekitar Taman Harmoni, Sibu.

Program anjuran bersama Pusat Khidmat ADUN Nangka dan PEMADAM Sarawak itu sempena sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negeri Sarawak 1443H/2022M.

Sebanyak 500 pek bubur lambok dan 500 pek bubur pedas diagihkan kepada penduduk di sekitar taman itu. – EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *