RABU, 20 APRIL 2022

SERIAN: Perwujudan Daerah Kecil Balai Ringin bakal memberi impak yang positif dari segi penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada seramai 13, 391 orang penduduk di daerah berkenaan.

Menurut Residen Bahagian Serian, Tuah Suni, jumlah penduduk tersebut merangkumi 97 buah kampung termasuk rumah panjang.

Jelasnya, ini juga selaras dengan taraf Serian sebagai satu bahagian yang menampakkan peningkatan yang ketara dari segi pembangunan.

“Pihak kami juga ingin memastikan pembangunan infrastruktur, sosial dan ekonomi adalah terancang serta seimbang,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Perasmian Makmal Perancangan dan Pembangunan Daerah Kecil Balai Ringin mewakili Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion di Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Serian pada Rabu.

Bercakap mengenai makmal tersebut, Tuah Suni berkata, ianya diadakan untuk memaklumkan kepada semua agensi kerajaan, pihak Konsultan dan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) berkaitan persempadanan baharu Daerah Kecil Balai Ringin.

Selain itu, makmal tersebut adalah untuk mengenalpasti dan merancang program atau projek pembangunan yang akan dilaksanakan serta memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat diurus dengan efektif dan efisien.  

Untuk rekod, seramai 88 orang KMKK dari Balai Ringin telah menghadiri  makmal tersebut yang diadakan selama dua hari.-EDISI UKAS

add comment