RABU, 20 APRIL 2022

SRI AMAN: Sarawak sekali lagi akan bergema dengan alunan benak dan menjadi tumpuan pengunjung bagi menyaksikan Pesta Benak 2022 yang akan diadakan selama tiga hari di sini pada 9 hingga 11 September nanti.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Simanggang, Datuk Francis Harden Hollis berkata, pengelolaan Pesta Benak tahun ini telah diambil perhatian selepas negara beralih ke fasa endemik.

Ini kerana jelasnya, pihak penganjur menjangkakan lebih ramai pengunjung dari dalam dan luar negara akan bersama-sama penduduk tempatan datang menyaksikan keunikan benak ini nanti, memandangkan kali terakhir Pesta Benak diadakan ialah pada tahun 2019 iaitu sebelum negara dilanda Pandemik COVID-19.

Beliau berkata demikian semasa mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pesta Benak 2022 bersama Pengerusi Jawatankuasa Induk Pesta Benak 2022, Datu Indit Bangai di Bilik Mesyuarat Pejabat Residen Bahagian Sri Aman pada Rabu.

Menerusi perbincangan, ujar Datuk Francis, pelbagai aturcara tradisi dalam penganjuran Pesta Benak telah ditetapkan dengan acara kemuncak akan menyaksikan pertandingan Regatta (Lumba Perahu).

Selain itu, pengisian lain yang bermanfaat kepada pengunjung adalah pameran pembangunan, pameran institusi pendidikan, Bazar Ria dan pertunjukan pentas pelbagai kebudayaan termasuk pertandingan Ratu Benak, pertandingan Kebaya Nyonya serta beberapa acara sampingan yang lain.

Mengulas mengenai lokasi pula, beliau memberitahu, Pesta Benak kali ini mempunyai tapak yang serba baru dan menarik selepas projek pembinaan Sri Aman Waterfront siap sepenuhnya.

“Komponen projek terdiri daripada Wharf Section (Tapak Pesta Benak), Board walk dan Culture Heritage Centre yang menempatkan 14 lot kedai. Kita optimis sekiranya bersesuaian akan dilakukan majlis perasmian Sri Aman Waterfront oleh Premier Sarawak,” katanya.

Pesta Benak Sri Aman yang telah dimasukkan dalam Kalendar Pelancongan Negeri Sarawak sememangnya sudah diketahui ramai sehingga ke luar negara dan secara tidak langsung pesta ini mampu meningkatkan lagi ekonomi penduduk di bandar ini.

Mesyuarat tersebut telah dihadiri oleh wakil dari MYSED, MOTAC dan setiap agensi yang dijemput bagi mengingatkan penugasan terhadap aturcara yang telah diagihkan.

Turut hadir ialah Pegawai Daerah Sri Aman, Mohd Ashree Wee; Pegawai Daerah Lingga,Frank Lani; Pegawai Daerah Pantu, Langgong Wasam dan Pegawai Tadbir, Abdul Rahman Sebli.-EDISI UKAS

add comment