KHAMIS, 21 APRIL 2022

LUNDU: Seramai 380 orang penerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di daerah ini menerima sumbangan wang tunai RM100 beserta hamper sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Daripada jumlah itu, 100 orang telah menerima secara langsung daripada Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah semasa Majlis Sejambak Kasih Hari Raya Aidilfitri 2022 di Dewan Serbaguna Mahligai Gading Lundu pada Rabu.

Menurut Dato Sri Fatimah, penerima yang tidak berpeluang hadir ke majlis tersebut, jumlah sumbangan akan dikreditkan ke akaun masing-masing.

Katanya, bantuan kebajikan itu bertujuan meringankan beban kewangan penerima untuk persiapan Syawal di samping membantu meningkatkan kualiti hidup keluarga yang kurang berkemampuan.

Majlis Sejambak Kasih tersebut melibatkan perbelanjaan kerajaan sebanyak RM38,000.

Dalam masa sama, beliau turut menyampaikan bantuan Kenyalang Gold Card (KGC) kepada lima penerima, kad orang kurang upaya (OKU) kepada dua penerima, bantuan ihsan kematian (BIK) bernilai RM3,000 seorang kepada enam penerima dan Geran Pelancaran RM5,000 (secara one-off) kepada lima usahawan.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan yang turut berkesempatan menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) yang beragama Islam di daerah berkenaan.

Selain itu, beliau juga menyumbang tiga buah kerusi roda dan tiga bantuan perubatan kepada penerima yang memerlukan.

Turut hadir ialah Pegawai Daerah Lundu, Gustian Durani dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak, Noriah Ahmad.-EDISI UKAS

add comment