Fokus Politik Pembangunan Infrastruktur Dan Sosiekonomi Masyarakat: Datuk Abdullah Saidol

UKAS  > Edisi-Tengah >  Fokus Politik Pembangunan Infrastruktur Dan Sosiekonomi Masyarakat: Datuk Abdullah Saidol
0 Comments

ISNIN, 25 APRIL 2022

TANJUNG MANIS: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semop digesa agar memberi tumpuan terhadap politik pembangunan infrastruktur dan sosiekonomi masyarakat.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol, menegaskan ia perlu bagi mencapai agenda politik di luar bandar bertumpu kepada soal pembangunan, kebajikan dan sosioekonomi selaras dengan matlamat kerajaan membangunkan kawasan tersebut.

Ujarnya, apabila tiga perkara itu dapat dibangunkan, jurang keselesaan antara bandar dan desa dapat dirapatkan.

“Kerana hampir keseluruhan DUN Semop adalah kawasan pedalaman yang masih banyak usaha perlu dilakukan untuk merapatkan jurang keselesaan antara kawasan bandar dan desa,” katanya pada Mesyuarat Perwakilan Tri-Tahunan PBB Cawangan DUN Semop di sini pada Ahad.

Bagi memastikan matlamat pembangunan di kawasan tersebut tercapai, beliau berkata mesyuarat telah menubuhkan Biro Pembangunan, Biro Kebajikan, Biro Sosioekonomi, Biro Modal Insan dan Biro Acara dan Program.

“Penubuhan biro-biro ini penting untuk memberi peranan serta penglibatan yang lebih aktif kepada ahli-ahli PBB Cawangan Semop dalam pelbagai perancangan serta pelaksanaan pembangunan infrastruktur di kawasan DUN N42 Semop.

“Biro-biro ini juga berperanan untuk memastikan isu kebajikan serta sosioekonomi sentiasa diberi perhatian dan tindakan yang cepat sama ada di pihak wakil rakyat dan agensi-agensi berkaitan,” jelasnya lagi.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop turut menyeru semua supaya menjauhi budaya politik suka berburuk-sangka dan kebencian kerana ia mampu memecah-belah perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di kawasan DUN berkenaan.

Tambahnya, walaupun kawasan DUN Semop penduduknya majoriti terdiri dari Bumiputera tetapi bilangan kaum Melanau, Melayu dan Iban adalah hampir seimbang.

Mesyuarat yang dihadiri 252 perwakilan dari 28 Ranting Cawangan PBB DUN Semop di Dewan IKS Tanjung Manis itu dirasmikan Timbalan Menteri di Pejabat Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Datuk Dr Juanda Jaya.

Dalam ucapannya, Datuk Dr Juanda mengingatkan semua ahli PBB supaya sentiasa bersedia mempertahankan perjuangan parti dan kedudukan wakil rakyat.

“Ahli-ahli PBB perlu melengkapkan diri dengn maklumat yang betul dan sahih bagi membidas pelbagai kritikan serta serangan pihak lawan,” ujarnya.

Majlis penutupan serta penangguhan mesyuarat disempurnakan Ahli Parlimen Tanjong Manis Ir. Yusuf Wahab.

Semasa berucap, Ir. Yusuf menyeru semua kepimpinan PBB di setiap ranting agar sentiasa bekerjasama dengan kepimpinan kampung dalam memastikan setiap usaha pembangunan sedang dilaksanakan di setiap kampung dan rumah panjang berjalan lancar seperti diharapkan oleh masyarakat kampung.

Beliau turut menyeru supaya momentum sokongan terhadap Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan diteruskan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) yang mungkin diadakan bila-bila masa sebelum hujung tahun ini.

Dalam pemilihan itu, Datuk Abdullah menang tanpa bertanding manakala Timbalan Cawangan yang dipilih ialah Rudy Suib.

Jawatan Ketua Wanita dan Ketua Pemuda masing-masing disandang Rosiah Deni dan Ariffin Akoh.

Mesyuarat tersebut diselaras oleh Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Kenil Jaraiee dan Faridah Osman. – EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *