GPS Berpegang Teguh Kepada Semangat Kongsi Kuasa

UKAS  > Edisi-Tengah >  GPS Berpegang Teguh Kepada Semangat Kongsi Kuasa
0 Comments

AHAD, 15 MEI 2022

BELAGA: Gabungan Parti Sarawak (GPS) berpegang teguh kepada semangat kongsi kuasa dengan tidak meletakkan calon Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di semua kawasan dan menentukan kerusi untuk parti komponen.

Timbalan Yang Di-Pertua Parti PBB Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata Sarawak terdiri daripada pelbagai kaum dan tegasnya tidak ada satu kaum yang majoriti boleh membentuk kerajaan dengan sendiri melainkan bekerjasama antara satu sama lain.

Beliau yang juga Timbalan Premier Sarawak menjelaskan semangat kerjasama inilah yang membolehkan GPS memenangi 76 dari 82 kerusi dipertandingkan pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 yang lepas.

“Dalam PRN yang lepas banyak permintaan-permintaan dari kawasan-kawasan supaya calon daripada PBB diangkatkan. Tapi kita berpegang teguh kepada semangat kongsi kuasa.

“Semangat kerjasama inilah yang menjadikan kita memperolehi majoriti yang besar,” katanya semasa berucap dalam Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Cawangan PBB N.65 Belaga di Dewan Masyarakat Belaga pada Sabtu.

Dalam pada itu, Datuk Amar Awang Tengah juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II mendedahkan Kerajaan Negeri bercadang untuk mewujudkan Lembaga Pembangunan Tasik yang berperanan mengawal selia pembangunan di tasik-tasik seperti di Murum, Bakun dan Baleh.

Katanya, cadangan itu masih dalam perincian sebelum ia dikemukakan kepada Dewan Undangan Negeri.

“Ianya (Lake Development Autority) satu badan yang mengawal selia pembangunan di tasik-tasik kita sama ada di Murum, Bakun dan Baleh.

“Ini sudah tentu akan menjadi pemangkin kepada pembangunan di kawasan persekitaran yang akan menjadi penggalak kepada industri eko-pelancongan,” katanya.

Katanya, perbincangan juga telah diadakan bersama Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berhubung cadangan mewujudkan jawatan Setiausaha Politik dari kawasan Belaga.

Mengenai cadangan menjadikan Belaga sebagai bahagian, Datuk Amar Awang Tengah berkata Kerajaan Sarawak sedang menunggu syor-syor dari Setiausaha Kerajaan Sarawak selepas kajian menyeluruh dilaksanakan berhubung dengan persempadanan dari segi pentadbiran untuk seluruh negeri ini.

Turut hadir dalam majlis itu Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi 1 Sarawak merangkap ADUN Belaga Datuk Liwan Lagang dan Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan, Datuk Mohamad Narodin Majais. – EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *